Pendaki Everest hilang: Kerajaan salur RM1.48 juta bantu usaha kesan Muhammad Hawari


  • Primer
  • Rabu, 24 Mei 2023

MUHAMMAD Hawari dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

KERAJAAN akan menyalurkan sumbangan bernilai RM1.48 juta bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr K Nagulendran, peruntukan itu diberikan melalui kementerian bagi pihak kerajaan.

"Dana itu adalah daripada kerajaan memandangkan SAR dikendalikan oleh kerajaan Malaysia yang merangkumi Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Luar.

“Ini adalah anggaran kos SAR dan kita perlu bertindak cepat memandangkan ada tempoh sehingga 28 Mei untuk operasi itu,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Rabu.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Timbalan Presiden Eksplorasi Altittud, Murshid Maktar di bangunan Parlimen.

Tambah Nagulendran, dana itu akan digunakan antara lain untuk mengupah enam orang sherpa dan helikopter.

"Kami menghantar sherpa profesional hanya untuk SAR," katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar, Datuk Mohammad Ali Selamat berkata, pegawai Malaysia di Kathmandu memaklumkan bahawa kawasan pencarian telah diperluaskan.

"Pencarian telah diperluaskan termasuk kawasan bukan sahaja di Nepal tetapi juga di Tibet. Ia kini termasuk laluan kembara bermula dari wilayah Tibet," katanya.

Ketua misi ekspedisi, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor yang turut hadir pada sidang media itu berkata, pencarian agak lebih mencabar kerana keadaan mangsa yang mempunyai masalah pendengaran.

"(Suara) para penyelamat tidak dapat didengari olehnya. Mereka perlu bergantung pada penglihatan dan ia lebih sukar pada waktu malam," tambahnya.

SAR

Muhammad Hawari dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Pada Sabtu, Muhammad Hawari yang merupakan antara peserta misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Sehari sebelumnya, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang juga antara peserta ME 2023, dilaporkan meninggal dunia.

ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud itu turut disertai ketua ekspedisi yang juga bekas pendaki Everest 2016, Azim Afif Ishak dan Vincent Tiong Ling Yang, telah memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan dan KBS. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram