SURIA FM menyambut Hari Kesedaran Keselamatan Maritim pada tahun ini dengan melakukan kunjungan ke Stesen Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Subang, Selangor.
Lawatan pada Selasa yang turut disertai dua orang penyampai Morning Morning Suria, Ajak dan Shuib itu bertujuan bagi mendekati dan menerima pendedahan terhadap peranan Maritim Malaysia dalam melaksanakan salah satu tugas terasnya untuk menyelaras usaha mencari dan menyelamat.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sempena Hari Kesedaran Keselamatan Maritim yang disambut pada 6 Jun setiap tahun itu, antaranya sesi rakaman Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) supaya menjaga keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut dan sesi temubual bersama beberapa anggota terlibat.
Shuib (kiri) dan Ajak (tengah) diberikan taklimat oleh anggota APMM ketika menyertai gimik CARILAMAT.
Aktiviti itu melibatkan pegawai Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana (BCLBB), Juruterbang Maritim Malaysia dan Perenang Penyelamat.
Pada masa sama, kunjungan selaku rakan strategik itu turut menyaksikan berlangsungnya gimik proses mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dilakukan barisan penyampai di kawasan perairan Selangor dengan menaiki helikopter khas Maritim Malaysia.
Ajak atau nama sebenarnya, Mohd Hanaffi Razak berkata, dia dan Shuib sangat teruja kerana dapat merasai pengalaman menjadi sebahagian daripada angkatan Maritim Malaysia.
"Tidak dinafikan kami sangat gemuruh sewaktu melakukan gimik proses mencari dan menyelamat (CARILAMAT) yang memerlukan saya untuk “winching” ke laut dari atas helikopter.
"Terima kasih kepada semua kakitangan Maritim Malaysia terlibat dalam menjayakan gimik tersebut dengan kawalan keselamatan yang rapi dan ketat," ujarnya.
Pasukan Suria FM bergambar bersama anggota APMM semasa kunjungan tersebut.
Bagi Shuib pula, peluang untuk menyertai gimik itu adalah satu pengalaman yang cukup manis dan sangat sukar untuk dilupakan.
"Kita seharusnya berbangga dengan maritim Malaysia kerana tanpa mereka siapa yang mahu menjaga persisiran pantai dan menyelamat di Malaysia.
"Terima kasih Maritim Malaysia, Selamat Hari Kesedaran Keselamatan Maritim!" ujar Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram