Ahli perniagaan gagal langsai hutang, ah long ugut culik anak, tayang gambar dekat van jenazah di Cheras


  • 112
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Seorang ahli perniagaan di Cheras berhadapan ancaman ah long selepas adiknya gagal membayar semula pinjaman wang haram. — Gambar hiasan

SEORANG ahli perniagaan bimbang dengan keselamatan keluarganya selepas si peminjam mengugut untuk menculik anak-anaknya.

Lelaki itu yang hanya ingin dikenali sebagai Choong, 42, dari Cheras, Kuala Lumpur mendakwa, adiknya telah membuat kira-kira 13 pinjaman daripada peminjam wang haram berjumlah RM83,000.

"Dia membuat pinjaman itu pada Mei tetapi bulan Jun, mereka mula mengganggu dan mendesak kami berdua untuk membayar hutang. Malah mereka mengugut untuk menculik dua anak saya berusia sembilan dan 12 tahun serta anak perempuannya yang berusia dua tahun," katanya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA.

Tambahnya, peminjam wang haram itu juga turut menyunting gambar adik dan isterinya dan meletakkannya dekat van jenazah sebagai ancaman kepada mereka.

"Ini kali pertama dia meminjam wang daripada peminjam dan kini kami semua bimbang dengan keselamatan masing-masing.

"Abang saya juga telah melaporkan kes itu kepada polis di Hulu Selangor pada 6 Jun lalu," katanya sambil menggesa bantuan berhubung perkara itu.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang akauntan yang hanya mahu dikenali sebagai Huang, dari Petaling Jaya, Selangor mendakwa, suaminya telah meninggalkan dia dan keluarganya selepas berhadapan dengan gangguan daripada peminjam wang.

"Suami saya berumur 45 tahun dan bekerja sebagai juruteknik servis penghawa dingin.

"Dia pindah keluar dari rumah pada Januari tahun ini kerana kami berada dalam proses perceraian," katanya, sambil menambah dia tidak tahu mengapa suaminya perlu mencari pemberi pinjaman wang haram untuk membuat pinjaman.

Dia mendakwa, mereka berjaya menjelaskan pinjaman suaminya dua tahun lalu tetapi sepupu dan bapa mertuanya telah menerima panggilan ugutan daripada pemberi pinjaman sejak bulan lalu.

"Sepupu saya diberitahu bahawa dia adalah penjamin kepada peminjam tetapi dia tidak pernah menjadi penjamin sebelum ini. Saya juga telah menerima panggilan daripada peminjam wang yang menuntut saya membayar RM4,300 lagi untuk menyelesaikan perkara itu," katanya.

Ketika dihubungi, Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA. Datuk Seri Michael Chong berkata, peminjam wang haram itu adalah ancaman kepada masyarakat.

"Mereka sepatutnya ditangkap kerana telah mengganggu dan mengugut ahli keluarga mereka yang tiada kaitan dengan isu tersebut," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram