Penyamar polis di Johor dah kena cekup, siap senyum semasa kawad cam


  • 112
  • Selasa, 06 Jun 2023

Dua suspek ditahan kerana disyaki menyamar polis di Johor Bahru, Johor pada petang Isnin. — Polis Johor

CUBAAN individu yang menyamar sebagai anggota polis di Johor Bahru, Johor yang tular pada Isnin mengundang padah apabila mereka ditahan polis pada petang Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubng video tular di Facebook kira-kira pukul 1.52 petang pada Isnin.

Menurutnya, bertindak kepada maklumat tersebut, pihak polis menahan dua lelaki tempatan berumur 43 dan 48 tahun, yang mana salah seorang suspek merupakan penjawat awam.

"Hasil semakan mendapati seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Pihak polis turut merampas sehelai baju pantulan cahaya, lampu mudah alih, lampu suluh, lampu kepala dan sebuah kereta," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, kedua-dua suspek direman di Mahkamah Majistret Kulai, Johor pada pagi Selasa.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

"Polis Johor tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak mengikut undang-undang dalam usaha membanteras kejadian jenayah dan penyeludupan serta individu yang menyamar sebagai polis.

"Polis Johor menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyeludupan di sekeliling mereka dan membantu pihak polis bagi mengesan suspek yang masih bebas," katanya.

Pada Isnin, Majoriti melaporkan satu video tular memaparkan sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) yang dipercayai menyamar sebagai polis cuba menahan sebuah kenderaan lain dalam satu kejadian di Johor Bahru, Johor.

Dalam video tular sejak Isnin itu, kereta berwarna putih terbabit dilihat menggunakan lampu strob atau lampu mata arah yang sering digunakan kenderaan penguatkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram