[VIDEO] Pekerja enggan panggil abang, 'baby' punca lelaki mengamuk di restoran di Putra Heights


  • 112
  • Selasa, 06 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki mengamuk sehingga melempar bungkusan nasi dan air panas di Restoran Darlis Nasi Dagang, Putra Heights.

GARA-GARA berang dengan pekerja restoran yang memanggilnya pak cik, seorang pelanggan lelaki mengamuk dan membaling bungkusan makanan dan air minuman panas yang dibelinya,

Difahamkan suspek sebelum itu meminta pekerja berkenaan memanggilnya abang atau 'baby'.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, tindakan pekerja berkenaan memanggilnya pak cik menyebabkan lelaki itu berang dan mengamuk.

"Lelaki itu membaling makanan serta minuman panas lalu terkena seorang kanak-kanak berusia empat tahun. Pemilik restoran membuat laporan polis selepas video yang memaparkan insiden itu tular di media sosial.

"Pengadu mendakwa lelaki tersebut bertindak agresif dengan menjerit memaki hamun dan mengugut akan merosakkan harta-benda serta membuat kacau di kedai.

"Dia juga membaling beberapa biji kerusi dalam kedai dan juga menendang meja kedai beberapa kali sehingga mendatangkan ketakutan dan gangguan kepada pelanggan lain yang berada di dalam restoran," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Polis sedang menjalankan siasatan berkenaan insiden ini di bawah Seksyen 506/ 352 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau denda atau dengan kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahannya.

Wan Azlan berkata, polis memperhebatkan usaha mengesan dan menangkap suspek lelaki tersebut.

Orang ramai yang pernah mengetahui lelaki berkenaan diminta menghubungi talian 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat Inspektor Dinesh Ganasan di talian 011-33094457.

Sebelum ini Majoriti melaporkan video tular memaparkan seorang lelaki mengamuk sehingga bertindak melempar bungkusan nasi dan air panas dipercayai di Restoran Darlis Nasi Dagang, Putra Heights, Selangor sekitar pukul 9.15 pagi pada Ahad.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran itu menunjukkan, lelaki yang memakai baju berwarna kuning tersebut sepertinya bercakap dengan nada marah, namun tidak dapat dikenal pasti individu yang dimarahinya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram