SEORANG kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kajang, Selangor pada Jumaat atas pertuduhan merogol seorang warga emas dengan mengacukan pisau ke arahnya, April lepas.
R.Vasant Raj, 20, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 71 tahun di sebuah rumah di Taman Asa Jaya, Kajang pada 4 petang, 15 April lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan selain menetapkan 7 Julai ini untuk sebutan semula kes. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram