HASIL siasatan pihak polis, video tular seorang wanita didakwa menculik bayi di Sepatan, Kabupaten Tangerang, Indonesia rupanya mengalami gangguan mental.
Dalam video viral pada Selasa menunjukkan orang ramai mengerumuni wanita tersebut yang mana rata-ratanya bersorak gembira apabila dia ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Sepatan AKP Sriyono mengatakan kejadian itu terjadi pada Isnin sekitar pukul 1.00 tengahari waktu Malaysia namun pihak berkuasa menegaskan wanita berkenaan tidak melakukan penculikan.
Jelas Sriyono, pada mulanya wanita itu datang ke rumah seorang penduduk untuk melawat namun pemilik rumah berkenaan tidak mengizinkan untuk masuk kerana tidak mengenalinya.
“Ada orang yang datang ke rumah orang mahu melawat, tetapi disebabkan pemilik rumah tidak mengenalinya, mereka tidak mahu terima malah dihalau keluar,” katanya.
Sriyono berkata, wanita itu bertegas untuk masuk ke dalam rumah seorang penduduk sehingga berlaku kekecohan sehingga dia ditahan oleh penduduk setempat.
“Kerana berkeras mahu melawat sehingga berlaku pertengkaran mulut dan kemudian diamankan oleh orang ramai, tidak lama kemudian pihak polis datang dan membawanya ke Balai Polis Sepatan,” katanya.
Ketika disoal siasat polis, wanita itu mengaku sebagai utusan malaikat.
Hasil siasatan pihak polis, wanita itu mengalami gangguan mental.
Sriyono berkata, wanita itu berasal dari daerah Cimanuk, Kabupaten Pandeglang, Banten.
Tambahnya, ketika kejadian itu, wanita berkenaan dilaporkan sedang melarikan diri kerana tidak ingin mendapat rawatan daripada keluarganya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram