Anjur kempen Proklamasi Melayu, Bukit Aman soal siasat Tun M


  • Massa
  • Jumaat, 02 Jun 2023

Dr Mahathir disoal polis Bukit Aman susulan kempen Proklamasi Melayu yang didakwa memudaratkan demokrasi berparlimen. — Awani

IBU Pejabat Polis Bukit Aman menyoal bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada petang Jumaat atas aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen berhubung kempen Proklamasi Melayu yang dijalankan, kata peguamnya, Rafique Rashid Ali.

Menurut Rafique, Dr Mahathir memberitahu polis bahawa beliau bersedia untuk menjawab semua tuduhan di mahkamah.

"Dr Mahathir berkata, beliau bersedia untuk didakwa di mahkamah dan beliau akan menjawab sebarang persoalan di sana," kata Rafique dalam video yang disiarkan di Facebook.

Rafique, yang mengiringi Dr Mahathir ke Bukit Aman pada 12.30 tengah hari juga berkata, ia merupakan situasi pelik untuk individu seusia bekas Perdana Menteri itu disiasat mengikut Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

"Adakah menyalahi undang-undang untuk bercakap mengenai isu berkaitan orang Melayu?" soal Rafique.

Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Kempen Proklamasi Melayu oleh Dr Mahathir adalah bertujuan untuk menyatukan orang Melayu dan ia menyenaraikan 12 masalah utama yang dihadapi masyarakat.

Beberapa pemimpin tertinggi telah menandatangani Proklamasi Melayu tersebut antaranya Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram