PADA Selasa, pemilik kelab Liga 2 Indonesia, PSPS Riau, Norizam Tukiman memberi jaminan akan memulangkan semula duit para penyokong yang sudah membeli tiket bagi aksi perlawanan persahabatan di antara Kelantan FC dan skuad PSPS Riau yang sepatutnya berlangsung pada Selasa di Stadium Utama Riau, Pekan Baru.
Bagaimanapun Norizam yang juga pemilik Kelantan FC memaklumkan bahawa timbul masalah dari segi bayaran balik duit tiket penonton kerana wang hasil penjualan tiket tersebut tidak dipegang oleh PSPS Riau.
“Sebab penjualan tiket itu dibuat oleh jawatankuasa pelaksana (Panpel) yang dipilih oleh pasukan PSPS Riau, namun sudah dipecat,” katanya seperti dipetik Riau Online pada Rabu.
Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham terdahulu ditemui oleh wartawan portal Indonesia itu di Lobi Hotel Arya Duta.
Mengulas lanjut, Norizam turut menjelaskan bahawa ahli panel yang dipecat itu ialah Edward Riansyah atau dikenali sebagai Edu.
Menurutnya, pemecatan itu disebabkan oleh penyelewengan dana kelab untuk tujuan keperluan peribadi.
"Dia (Edu) telah dipecat," katanya.
Tambah Norizam, pihaknya masih memikirkan tindakan lanjut untuk bekas pengurus kelab itu.
“Disebabkan semua urusan yang dikendalikannya sebelum ini masih dalam perolehan, ia masih belum dikembalikan kepada kami,” katanya.
Sementara itu, laporan sama mengatakan Edu yang juga wakil pengurus pasukan PSPS Riau berjanji bahawa bayaran balik itu dapat diproses pada Khamis.
“Insya-ALLAH bayaran balik boleh diproses esok (Khamis), jawatankuasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram