USAHA-USAHA meningkatkan persefahaman dan mencari titik perpaduan akan diselaraskan bagi menghadapi isu-isu global yang meruncing seperti perubahan iklim, pemanasan global, ekstremisme dan sebagainya.
Perkara itu dimaklumkan tokoh agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang mewakili Malaysia ke Mesyuarat Anggota-anggota Jawatankuasa Tetap Dialog Islam - Kristian antara Muslim Council of Elders dan Vatican’s Dicastery for Interreligious Dialogue di Manama, Bahrain.
Zulkifli yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, mesyuarat kali pertama itu juga bersetuju untuk menjadikan Document for Human Fraternity yang ditandatangani Fadhilat al-Imam al-Akbar Syeikh Dr. Ahmed Al-Tayeb dan Paus Francis sebagai asas untuk sebarang usaha dialog antara agama.
"Alhamdulillah, isu-isu yang dibincangkan lebih mendasar, serius dan tidak sekadar permasalahan asas sebagaimana yang biasa dibentangkan dalam siri dialog antara agama di Malaysia.
"Menjunjung kasih Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa al Khalifa dan Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Bahrain atas segala usaha yang telah dilaksanakan bagi menjayakan pertemuan bersejarah ini," katanya dalam perkongsian di video TikTok pada Sabtu.
Zulkifli yang mewakili Muslim Council of Elders turut mencadangkan satu garis panduan lengkap yang boleh dijadikan rujukan dunia untuk sebarang bentuk dialog antara agama, dapat diwujudkan.
Perkara itu menurut Zulkifli sudah dimaklumkan kepada Bekas Wakil al-Azhar, Syeikh Dr. Abbas Shouman agar cadangan berkenaan dapat dilaksanakan oleh Universiti al-Azhar al-Sharif melalui teraju Syeikhul Azhar.
"Saya juga telah membentangkan keperluan prinsip-prinsip akidah Islam yang jelas dalam meraikan kepelbagaian agama.
"Setiap negara mempunyai kebudayaan yang berbeza. Ini sudah tentu memerlukan sebuah panduan yang meraikan kepelbagaian dan mengutamakan masyarakat setempat," katanya.
Dalam mesyuarat itu, wakil Gereja Roman Katolik yang hadir adalah Presiden Vatican’s Dicastery for Interreligious Dialogue, Cardinal Miguel Ayuso dan Setiausaha Vatican’s Dicastery for Interreligious Dialogue, Mosignor Khaled Akasheh serta anggota Vatican’s Dicastery for Interreligious Dialogue, Mosignor Aldo Berardi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram