[VIDEO] Rakyat akan marah jika pengampunan kepada Najib diberi dengan mudah — Hassan


  • Politik
  • Sabtu, 27 Mei 2023

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC. — Reuters

TINDAKAN memberikan pengampunan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat berisiko mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat, tegas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Menurut beliau, pengampunan tersebut sekiranya diberikan dengan terlalu mudah tanpa pemimpin tersebut perlu menjalani hukuman panjang akibat jenayah dilakukan bakal mewujudkan sentimen negatif dalam kalangan rakyat terhadap sistem keadilan di dalam negara.

"...kalau pengampunan diberi dengan mudah, rakyat akan marah. Rakyat akan cakap kata-kata bahawa undang-unang ini adil bagi semua ini adalah 'nonsense' la. Mereka akan kata 'kamu kelas kayangan masuk tidak sampai (lama)...bebas',

"Tapi orang yang curi petai, belon, masuk penjara kerana kesalahan tidaklah sebesar 1Malaysia Development Bhd (dipenjara lebih lama)" katanya kepada Majoriti.

file7qc7wvj9i14pj043haf

Hassan berkata, pengampunan itu sekiranya diberikan dengan terlalu mudah bakal mewujudkan sentimen negatif dalam kalangan rakyat terhadap sistem keadilan di dalam negara.

Hassan berkata, isu pengampunan terhadap bekas Presiden Umno itu bukan bersifat peribadi, sebaliknya tertumpu terhadap keperluan untuk menghormati proses perundangan yang sudah berjalan dalam perbicaraan panjang kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) itu,

Jelas beliau, Najib juga ketika ini masih berhadapan dengan beberapa pertuduhan lain yang masih sedang dalam proses dan akan dibicarakan.

Ia antara lain membabitkan perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan salah guna kuasa untuk meminda laporan audit 1MDB.

Dua lagi kes belum dibicarakan adalah pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC sebanyak RM27 juta.

Dalam pada itu, Hassan berkata, pendiriannya itu tidak bermakna bahawa beliau langsung tidak bersetuju terhadap usaha bagi memberikan pengampunan kepada Najib.

Ini kerana beliau turut mengakui bahawa kuasa untuk mempertimbangkan permohonan pengampunan oleh Najib itu sememangnya terletak sepenuhnya di tangan Yang di-Pertuan Agong.

file7qc7wrbg7v61lp5mrhaf

Hassan berkata, pendiriannya itu tidak bermakna bahawa beliau langsung tidak bersetuju terhadap usaha bagi memberikan pengampunan kepada Najib.

"Kita pun bukannya sadis dan ada dendam kesumat. Tidak. maknanya kita nak proses undang-undang ini berjalan dengan baik dan seperti peruntukan penjara mahkamah bahawa selepas sekian-sekian waktu yang munasabah maknanya Agong boleh mengampunkan.

"Yang dah dihukum mati seperti dalam kes Datuk Mokhtar Hashim, bekas Menteri Sukan melibatkan kes jenayah bunuh pun diampunkan. Datuk Seri Harun Idris (bekas Menteri Besar Selangor) pun diampunkan.

"Jadi maknanya Datuk Seri Najib pun satu hari nanti diampunkan," ujarnya.

Pada 3 April lalu, Najib dilaporkan sudah membuat permohonan petisyen bagi mendapatkan pengampunan Diraja kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ia selepas beliau gagal dalam usahanya bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapinya.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamahh Tinggi memerintahkan Najib untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram