'Tindakan Umno terpesong', Amanah rayu Agong tolak pengampunan Najib, biar kekal di penjara


  • Politik
  • Jumaat, 28 Apr 2023

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

PARTI Amanah Negara (Amanah) merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menolak permohonan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak .

Pengarah komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, pengampunan terhadap Najib bakal menghantar mesej sangat kurang baik kepada rakyat dan juga negara luar berhubung pendirian negara berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa.

Jelas beliau, perkara itu akan turut merosakkan imej dasar Malaysia Madani dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan supaya permohonan pengampunan ini ditolak maka Najib terus dipenjarakan atas sebab kesalahan yang jelas telah beliau lakukan.

"Hanya dengan itu rakyat akan yakin Kerajaan Perpaduan dan Institusi Raja-raja Melayu bersama Yang di-Pertuan Agong ingin menyelamatkan negara kita daripada pandemik rasuah dan salah guna kuasa yang melanda negara sejak sekian lama," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

KUCHING, 24 Nov -- Menteri Wilayah Abdul Khalid Samad berucap pada majlis santai Parti Amanah Negara Sarawak bersama pengamal media hari ini.--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad.

Pada 9 April lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan parti itu sedang berusaha mencari tarikh bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan rayuan pengampunan terhadap Najib.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebelum itu secara terbuka memohon ihsan Seri Paduka Baginda agar mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas presiden parti itu sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Khalid berkata, tindakan dilakukan Umno itu dibuat kerana atas rasa tanggungjawab parti tersebut terhadap bekas presidennya.

"Walaupun sifat kesetiaan dan mengenang jasa terhadap pemimpin secara amnya adalah satu sifat positif, namun dalam konteks ini adalah lebih baik Umno bersama PH (Pakatan Harapan) menunjukkan komitmen terhadap usaha memerangi rasuah yang menjadi paksi masyarakat madani.

"Tindakan Umno kelihatan sedikit terpesong dari wawasan masyarakat madani yang diperjuangkan bersama," ujarnya.

Tambah beliau, Najib juga ketika ini sedang berdepan dengan beberapa lagi kes di mahkamah yang sedang dibicarakan.

"Lagipun, Najib berdepan dengan banyak lagi kes di mahkamah yang sedang dibicarakan.

"Apakah selepas diampunkan, beliau akan masuk ke penjara lagi jika didapati bersalah selepas ini? Atau dianggap beliau berada di satu makam dan kedudukan istimewa yang kebal undang-undang?" soalnya.

Dalam pada itu, Khalid menegaskan partinya mengakui dan mengiktiraf bahawa kuasa pengampunan adalah hak mutlak Seri Paduka Baginda.

Bagaimanapun, beliau berharap pandangan diutarakan Amanah itu dapat membantu Yang di-Pertuan Agong keputusan baik dan tepat bagi Institusi Raja-raja Melayu dan negara secara keseluruhan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram