Permohonan pengampunan diraja Najib bukan urusan kerajaan — Anthony Loke


  • Primer
  • Isnin, 10 Apr 2023

Anthony Loke berkata, permohonan pengampunan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet kerana ia bukan urusan kerajaan.

PERMOHONAN pengampunan diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet kerana ia bukan urusan kerajaan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

"Isu pengampunan itu ialah pendirian Umno sebagai parti politik," katanya menjawab soalan dalam sidang media di Parlimen pada Isnin.

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, sesiapa sahaja selepas disabitkan kesalahan boleh memohon pengampunan dan ia merupakan proses biasa.

"Proses itu adil kepada semua pihak. Siapa-siapa sahaja boleh mohon pengampunan tapi sama ada itu dibenarkan atau tidak terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Untuk kita, kita menaruh kepercayaan kepada proses itu dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan yang terbaik," katanya.

Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 31 Mac lepas, Najib gagal memperoleh kebenaran menyemak hukuman dan sabitan itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram