Penglibatan Ahli Parlimen pembangkang dalam KRPPM-IGAR bawa suara rakyat dari sudut berbeza


  • Massa
  • Selasa, 16 Mei 2023

Mas Ermieyati berkata, pembangkang akan membawa suara rakyat daripada sudut pandang berbeza.

PENGLIBATAN Ahli Parlimen pembangkang dalam Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) akan membawa suara rakyat dari pelbagai sudut berbeza.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, suara rakyat adalah isu yang serius dan tidak boleh dipandang enteng.

Katanya, sehubungan itu, pembangkang akan membawa suara rakyat daripada sudut pandang berbeza.

"Tidak semua perkara yang dibawa akan dipersetujui tetapi mereka meraikan perbezaan demi mencapai keputusan terbaik.

"Saya percaya, sokongan pembangkang ini juga adalah lambang komitmen pembangkang sebagai wakil rakyat yang komited untuk bawa harapan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) bertempat di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Sementara itu, bekas menteri Kabinet, Tan Sri Syed Hamid Albar berpendapat penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) sebagai suatu yang positif.

"Ia membawa makna yang signifikan dalam usaha ke arah menjadikan Malaysia Tanpa Rasuah.

" Saya lihat kali ini, selama terlibat dalam politik dan pertama kali wujud kesungguhan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang berbincang bagi menjayakan agenda memerangi rasuah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram