'Hanya dapat jaket Hawari', operasi mencari pendaki OKU Everest diteruskan


  • Massa
  • Selasa, 23 Mei 2023

Pendaki cacat pendengaran Muhammad Hawari Hashim, 33, dilaporkan hilang pada Jumaat. — Facebook

HANYA jaket Gore-Tex dan peralatan GPS berjaya ditemukan pasukan penyelamat ketika meneruskan pencarian di kawasan pergunungan Everest bagi mengesan pendaki gunung Malaysia yang cacat pendengaran, Muhammad Hawari Hashim yang hilang sejak Jumaat.

Pasukan itu juga sedang berusaha mengesan telefon bimbit lelaki berusia 33 tahun itu yang dilaporkan hilang ketika turun selepas tiba di puncak.

"Kami telah menemui jaketnya yang mengandungi 'RECCO' di Kem 2," kata Ayu Wanirah Naharuddin, pengurus pasukan Malaysian Mission Everest 2023 (ME2023).

Teknologi RECCO membolehkan anggota penyelamat mencari pemakainya.

Ayu Wanirah berkata, usaha mencari dan menyelamat (SAR) udara telah dijalankan pada Isnin tetapi tiada kesan tapak manusia ditemui di kawasan pendakian atau laluan gunung tersebut.

“SAR darat di kawasan gunung terus dijalankan pada Kem 2. Pencarian di celah-celah kawasan pergunungan memerlukan tenaga pakar dan kita telah menempatkan seramai mungkin anggota di kawasan sekitar.

“Polis Nepal juga telah diminta membantu mengesan telefon pintar iPhone milik Muhammad Hawari,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Beliau berkata, sekumpulan Sherpa akan menjalankan pemeriksaan untuk mencari Muhammad Hawari di setiap khemah di Kem 2, 3 dan 4 hari bermula Selasa.

Pada Jumaat, Muhammad Hawari, peserta misi ME2023, dilaporkan hilang ketika turun dari Kem 4. Pada hari yang sama, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika mendaki ke puncak.

Ayu Wanirah berkata, usaha menurunkan jenazah Awang Askandar sedang giat dijalankan.

“Enam Sherpa akan berada di Kem 4 menjelang petang Selasa. Pagi Rabu, jenazah akan dibawa turun ke kawasan selamat sebelum diterbangkan ke Kathmandu," katanya.

ME2023 merupakan anjuran Kelab Eksplorasi Altitud diketuai oleh pendaki Everest Azim Afif Ishak yang dimulakan pada 2 April. Misi itu turut disokong Kementerian Belia dan Sukan yang dijangka berakhir pada 2 Jun.

Di Kota Kinabalu, kerajaan Sabah berkata, pihaknya akan membantu menampung kos tambahan untuk membawa jenazah Awang Askandar ke kampung halamannya di Papar. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram