Simpan 169 gambar dan video lucah, bapa tiga anak didenda RM6,000


Mahkamah Majistret Ampang, Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM6,000 ke atas seorang pekerja penyelenggaraan kerana memiliki gambar dan video lucah. — Gambar hiasan

SEORANG pekerja penyelenggaraan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang, Kuala Lumpur pada Selasa kerana memiliki 169 gambar dan video lucah dalam telefon bimbitnya, tahun lepas.

Majistret Amalina Basirah Mohd Top menjatuhkan hukuman itu ke atas Mazlan Firdani Marzuki, 30, yang mengaku bersalah memiliki 92 kandungan gambar lucah dan 77 kandungan video lucah dalam telefon bimbitnya di sebuah rumah di Taman Ampang Indah, Ampang Jaya, Kuala Lumpur pada pukul 10.45 pagi, 20 April tahun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu. Dia membayar denda berkenaan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Nur Nazhzilah Mohammad Hashim dari Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (MCMC) memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Peguam Ernie Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Mazlan Firdani memohon hukuman paling minimum atas alasan tertuduh merupakan bapa tiga anak serta penanggung utama keluarga.

"Anak-anak tertuduh berusia setahun hingga 14 tahun. Sepanjang siasatan dijalankan, tertuduh telah memberi kerjasama yang baik dalam kes ini. Anak guam saya juga memohon maaf selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama," kata peguam itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram