Kecoh pelanggan jumpa 6 potong kuku dalam nasi, pemilik restoran terkenal TTDI tak tunggu lama terus mohon maaf


  • Tular
  • Isnin, 22 Mei 2023

Wanita berkenaan turut berkongsi gambar beberapa potong kuku yang ditemui ibunya dalam makanan. — Twitter

KECOH di media sosial seorang wanita mendakwa ibunya menemui beberapa potong kuku dalam makanan yang dipesannya di sebuah restoran terkenal yang terletak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada Sabtu.

Melalui perkongsian wanita tersebut di laman Twitter @alialysha, pada waktu kejadian mereka sedang menikmati juadah makan tengahari di restoran berkenaan.

"Makanan dah hampir separuh dimakan baru ibu tersedar ada kuku dalam makanan. Bukan satu tetapi enam potong kuku dalam nasi dan ada yang ibu dah termakan," ciapnya.

Wanita berkenaan turut berkongsi dua gambar yang jelas menunjukkan beberapa potong kuku di pinggan makanan tersebut.

Sementara itu, pemilik restoran berkenaan tampil memohon maaf serta kesal dengan situasi yang menimpa pelanggan tersebut pada Ahad.

"Kami ingin memohon maaf atas kejadian yang berlaku melibatkan juadah yang kami sediakan.

Kami juga amat kesal apabila mengetahui ada seorang pelanggan menjumpai bendasing yang tidak sepatutnya di dalam makanannya.

"Kami juga memberi jaminan bahawa kami memandang serius akan perkara ini dan sedang menjalankan siasatan menyeluruh untuk memastikan bagaimana perkara ini boleh terjadi," katanya melalui satu hantaran di Facebook.

Pihaknya turut memberi jaminan bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang.

"Kami ingin menekankan bahawa kejadian ini tidak mencerminkan tahap piawaian tinggi yang kami tetapkan sepanjang penubuhan restoran kami.

"Kami sudah pun melaksanakan langkah segera untuk memastikan perkara ini tidak akan berulang. Kakitangan kami akan menjalani latihan tambahan tentang keselamatan makanan dan protokol pengendalian.

"Kami komited untuk membuat penambahbaikan yang diperlukan diseluruh operasi kami demi mendapatkan kepercayaan anda semula," katanya.

Setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan sama ada pemilik restoran berkenaan sudah berjumpa dengan pelanggan tersebut untuk meminta maaf secara terbuka.

Majoriti juga sudah cuba menghubungi pemilik restoran berkenaan namun belum mendapat apa-apa maklum balas daripada pemilik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram