Tiada 'krisis' gula, bekalan masih terkawal — Salahuddin


  • Primer
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Salahuddin berkata, kerajaan melalui empat kementerian memastikan rakyat terus dapat membeli gula pada harga berpatutan. — Gambar hiasan

NEGARA tidak berhadapan dengan 'krisis' gula kerana bekalan bahan tersebut dalam keadaan terkawal, kata Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, kementeriannya sudah bertemu dengan dua syarikat gula di dalam negara iaitu MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR).

Katanya, kedua-dua syarikat berkenaan memberi jaminan bekalan bahan tersebut adalah mencukupi.

“Baru-baru ini ada cakap-cakap mengatakan bahawa terdapat kekurangan bekalan gula di negara ini, itu adalah palsu.

“Kementerian bertemu dengan MSM dan CSR pada Jumaat, ini kali ketiga kita berjumpa untuk membincangkan perkara ini, dan tidak timbul isu kekurangan bekalan gula dalam negara,” katanya.

Datuk Seri Salahuddin Ayub. – THOMAS YONG/The Star

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Ahli Parlimen Pulai di Taman Rekreasi Taman Uda Utama, Johor Bahru, Johor pada Sabtu.

Salahuddin berkata demikian ketika mengulas mengenai gambar gula putih premium dalam bungkusan hijau berharga RM4.60 sekilogram.

"Sekiranya syarikat gula ingin memperkenalkan produk baharu, mereka mesti mendapat lampu hijau daripada kementerian terlebih dahulu," katanya.

Di sebalik kenaikan harga gula mentah dan gas asli di peringkat global, Salahuddin berkata, kerajaan melalui empat kementerian memastikan rakyat terus dapat membeli gula pada harga berpatutan.

“Kementerian saya, bersama Kementerian Ekonomi; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Kewangan ditugaskan memastikan negara mempunyai bekalan gula yang mencukupi dan mampan.

"Kami juga telah menyediakan pelan tindakan untuk memastikan kami sentiasa selangkah ke hadapan sekiranya berlaku sebarang perubahan (secara global), supaya penduduk tempatan boleh terus mendapatkan gula mereka," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram