Kes mayat dalam tangki najis, polis Perak kesan 8 rakan suspek warga Indonesia


  • 112
  • Ahad, 21 Mei 2023

Mayat mangsa dipercayai dibunuh ditemui dalam sebuah tangki najis, di Kuala Kangsar, Perak pada 14 Mei lepas. — Gambar Hiasan

POLIS sedang mengesan lapan individu bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia dipercayai mangsa bunuh dalam sebuah tangki najis, di Kuala Kangsar, Perak pada 14 Mei lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kesemua suspek merupakan warga Indonesia yang tinggal serumah dengan mangsa.

"Kita kenal pasti (suspek) dan kita sekarang sedang mengesan mereka bagi melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk ke DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dan tindakan selanjutnya.

"Jadi berilah masa kepada pihak berkuasa dan kami menjalankan siasatan dan mengesan suspek-suspek ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia Perak Tahun 2023 di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah, Bota, Kuala Kangsar pada Sabtu.

Pada 15 Mei, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, polis sedang mengesan pasangan suami isteri yang juga rakan serumah mangsa dipercayai melarikan diri, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram