[VIDEO] Dinding rumah Flat Loke Yew tercabut, DBKL mula baiki kerosakan


  • Massa
  • Sabtu, 20 Mei 2023

DBKL telah menutup kawasan runtuhan dinding di Flat Perumahan Awam Loke Yew, Bukit Bintang, Kuala Lumpur bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.— DBKL

HUJAN lebat serta ribut petir yang melanda pada Jumaat malam telah mengakibatkan kerosakan dinding sebuah rumah di Flat Perumahan Awam Loke Yew, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Dalam satu video tular di laman Facebook, memaparkan situasi dinding flat berkenaan tercabut akibat cuaca buruk yang melanda.

Susulan kejadian itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) difahamkan telah menutup kawasan runtuhan dinding berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Dinding sementara telah dipasang di rumah berkenaan sebelum kerja-kerja baik pulih dinding dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, DBKL berkata, kejadian ribut itu juga turut menyebabkan bumbung tercabut melibatkan empat rumah di Blok 3, Perumahan Awam Seri Johor, Kuala Lumpur.

DBKL telah mengambil tindakan segera dengan menutup kawasan tapak sisa runtuhan bumbung berkenaan.

"Kerja-kerja pemasangan kanvas sementara telah dilakukan di bumbung unit terbabit sebelum kerja-kerja baik pulih bumbung dijalankan dalam masa terdekat.

"Bekalan elektrik di unit terlibat juga telah diputuskan bagi tujuan keselamatan," katanya.

Dalam pada itu, DBKL memaklumkan penghuni yang terlibat telah berpindah ke rumah saudara-mara di kawasan berhampiran dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka buat masa ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram