Kes buli: Polis cekup 9 remaja termasuk 8 pelajar sekitar Butterworth


  • 112
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Tangkap layar video tular pada Jumaat memaparkan seorang pelajar seorang pelajar lelaki dipukul dan ditendang berkali-kali di dalam sebuah tandas oleh pelajar lain.

POLIS menahan sembilan remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan di sebuah sekolah menengah di Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini, yang tular di media sosial sejak Jumaat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mereka yang ditahan secara berasingan di sekitar Butterworth pada Jumaat, terdiri daripada lapan pelajar sekolah dan seorang sudah tidak bersekolah.

"Saya mengesahkan polis menahan sembilan remaja lelaki berhubung dua video membabitkan dua kes pergaduhan dipercayai berbeza di sekolah yang sama itu, semua mereka ditahan secara berasingan semalam.

"Pegawai penyiasat (kes itu) sedang mengambil rakaman percakapan kesemua tangkapan dan kemungkinan kita akan membenarkan diberi jamin polis pada hari ini memandangkan mereka pelajar sekolah serta bawah umur," katanya kepada pemberita di George Town, Pulau Pinang, pada Sabtu.

Katanya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 147 akta sama kerana merusuh.

Terdahulu tular di media sosial dua insiden pergaduhan berasingan di sekolah yang sama dan rata-rata netizen marah dengan tindakan kumpulan remaja itu.

Antaranya sebuah klip video berdurasi 32 saat memaparkan seorang murid lelaki ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi oleh beberapa murid dipercayai berlaku dalam tandas.

Kebanyakan mereka termasuk mangsa serta sekumpulan murid yang menjadi 'penonton' aksi buli itu dilihat memakai pelitup muka dan berpakaian sukan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram