Jenayah seksual bawah umur di Selangor meningkat, polis siasat 155 kes


  • 112
  • Isnin, 15 Mei 2023

Hussein berkata, mangsa paling muda yang dilaporkan berusia sekitar 12 hingga 13 tahun.

KES jenayah seksual membabitkan kanak-kanak bawah umur di Selangor meningkat sejak empat bulan lalu, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata, polis menyiasat sebanyak 155 kes dalam tempoh tersebut.

Kes dilaporkan termasuk rogol berkanun dengan sekurang-kurangnya 33 suspek masih bergelar pelajar.

Walaupun beliau tidak mempunyai statistik yang tepat berbanding tahun lepas, Hussein berkata, jumlah kes itu membimbangkan.

Katanya, punca kepada jumlah kes yang tinggi itu mungkin disebabkan pengetahuan undang-undang lemah.

“Kami mendapati bagi kes di mana kedua-dua pihak suka sama suka (kedua-dua pihak suka antara satu sama lain), berkemungkinan suspek tidak tahu bahawa rogol berkanun adalah satu kesalahan besar.

"Jadi pemahaman yang lemah terhadap undang-undang negara boleh menyumbang kepada kes seperti ini," katanya sambil menambah bahawa mangsa paling muda yang dilaporkan berusia sekitar 12 hingga 13 tahun.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran balai polis Seri Kembangan, Serdang, Selangor, pada Isnin.

SHAH ALAM, 20 April  -- Ketua Polis Selangor  Datuk Hussein Omar Khan semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Perayaan Aidilfitri Peringkat Kontinjen Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. — Bernama

Menurut Hussein, dalam kes sedemikian, laporan kemudiannya dibuat oleh ibu bapa, penjaga atau guru mangsa apabila mereka mengetahui mengenai aktiviti tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa supaya lebih mengambil berat tentang aktiviti anak-anak mereka, terutamanya dalam talian.

Dalam isu berlainan, Hussein berkata, seramai tujuh individu telah direkodkan kenyataan mereka berhubung kejadian buli di Ampang Jaya, Selangor.

“Ini termasuk saksi juga. Apabila siasatan selesai, kami akan mengemukakan kertas siasatan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, polis akan memajukan kertas siasatan sebaik laporan akhir perubatan mangsa selesai.

Pada 8 Mei lalu, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati didakwa dipukul oleh seniornya sehingga menyebabkan kecederaan di rahang, dahi dan leher.

Insiden itu telah dirakam dan dimuat naik ke laman media sosial sehingga mengundang kecaman daripada orang ramai. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram