TULAR di media sosial sejak Khamis satu klip video kejadian beberapa orang lelaki diugut oleh sekumpulan penduduk kampung yang menggunakan senjata tajam di dipercayai berlaku di Sabah.
Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook Alexson_Felix difahamkan kejadian itu berlaku di kawasan ladang kelapa sawit.
"Kalau masuk kawasan orang minta izin dahulu, jangan sesuka hati menceroboh masuk.
"Ladang sawit ini bahaya bos, macam-macam orang ada. Takut hilang terus kalau pergi ke sana dengan niat jahat," tulisnya.
Dakwanya lagi, insiden tersebut berlaku apabila terjadinya salah faham antara mangsa dan penduduk kampung di kawasan berkenaan.
Namun tidak dinyatakan punca, tarikh dan lokasi sebenar sebenar yang mencetuskan pergaduhan tersebut.
Dalam video berdurasi seminit berkenaan, kelihatan beberapa orang lelaki memegang parang mengetuk bahagian depan kenderaan pacuan empat roda sambil menjerit.
Insiden itu dirakam oleh salah seorang rakan mangsa yang berada di dalam sebuah lagi kenderaan di belakangnya.
Kereta tersebut berjaya melarikan diri dan meninggalkan perakam yang terpaksa memberhentikan kenderaannya.
Lebih mencemaskan lagi, sekumpulan lelaki tersebut terus menuju ke arahnya sambil menunjukkan senjata tajam.
Turut kedengaran suara perakam tersebut meminta maaf.
"Ampun, ampun, ampunlah," katanya.
Setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan keadaan perakam video tersebut.
Pada masa sama, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram