
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan pengunduran beliau daripada Gerakan Tanah Air (GTA).
Mahathir sebelum ini berundur daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada awal Februari lalu selepas beberapa bulan kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Bagaimanapun, Mahathir memaklumkan beliau masih terlibat dalam arena politik sebagai Pengerusi GTA.
Mahathir mengakui pengundurannya daripada GTA berpunca daripada kurangnya sokongan orang ramai terhadap gabungan berkenaan.
Beliau turut mengatakan GTA tidak berfungsi dengan baik seperti diharapkan dan gagal membantu menang dalam pilihan raya lalu.
Faktor penting kepada kurangnya sokongan orang ramai terhadap GTA adalah Mahathir sendiri.
Selepas Mahathir gagal mempamerkan prestasi baik apabila kembali menjadi Perdana Menteri ketujuh pada 2018-2020, sokongan terhadap beliau kian berkurangan.
Dalam tempoh antara Mei 2018 hingga April 2019, kadar sokongan terhadap Mahathir merosot kepada 39 peratus berbanding 79 peratus pada tahun sebelumnya.
Orang ramai mengatakan kerajaan pentadbiran Mahathir menuju ke arah yang salah.
Rakyat merasakan kerajaan pentadbiran Mahathir gagal mengawal keadaan ekonomi semasa, prestasi pentadbiran yang 'carca marba' dan kebimbangan terhadap hak serta keistimewaan orang Melayu termasuk layanan adil terhadap kaum lain di negara ini.
Di samping itu, penganalisis politik turut mengatakan Mahathir sukar menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga disebabkan beliau tidak lagi mendapat sokongan, bukan sahaja daripada rakyat malahan sekutu politiknya.
Meskipun Mahathir memiliki sejarah sebagai seorang Perdana Menteri yang berjaya dan berpengaruh ketika rejim pemerintahanya selama lebih dua dekad, namun beliau turut mempunyai kelemahan tersendiri.
Mahathir terperangkap dalam pelbagai kontroversi semasa pemerintahan terdahulunya yang masih dibincangkan dan dikritik oleh sesetengah pihak.
Antaranya isu kronisme yang membayangi Mahathir. Pengkritik politik mengatakan Mahathir tidak memberi fokus kepada pembangunan ekonomi sama rata dan lebih mengutamakan kroni khususnya anak-anaknya.
Walaupun Mahathir kerap menafikan dakwaan itu, namun pengkritik politik serta rakyat kerap didedahkan dengan bukti-bukti serta kenyataan daripada ahli politik lain berhubung perkara berkenaan.
Atas dasar itu, Mahathir tidak lagi dipandang sebagai pemimpin yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, sebaliknya antagonis yang mahu menguntungkan kroninya sahaja.
Mahathir tidak lagi relevan dalam arena politik negara.
Wujud pandangan bahawa Mahathir tidak lagi mencerminkan perubahan dan aspirasi rakyat Malaysia masa kini, khususnya golongan muda yang memiliki keperluan dan kehendak yang berbeza berbanding generasi terdahulu.
Selain itu, rakyat turut menganggap Mahathir bukan lagi pilihan tepat untuk membawa negara ke hadapan dan mengubah keadaan politik serta sosial Malaysia.
Kebanyakan pihak turut merasakan Mahathir perlu memberi peluang kepada generasi baharu untuk mengambil alih peranan memimpin Malaysia ke hadapan.
Sekiranya Mahathir bersara sepenuhnya, beliau boleh membuka ruang kepada pemimpin muda untuk berkembang dan memberikan sumbangan kepada negara.
Usianya yang menjangkau hampir satu abad, dianggap sudah cukup tua untuk terus aktif dalam dunia politik yang penuh dengan tekanan dan cabaran.
Kesimpulannya, Mahathir kurang mendapat sokongan selepas menjadi Perdana Menteri ketujuh kerana kegagalan beliau dalam memperjuangkan isu-isu penting terutamanya untuk orang Melayu serta tidak mempunyai strategi jangka panjang untuk masa depan Malaysia.
Pengkritik politik juga percaya bahawa Mahathir patut bersara sepenuhnya daripada dunia politik untuk memberi ruang kepada pemimpin baharu yang lebih muda dan berkelayakan untuk membawa Malaysia melangkah lebih maju pada masa akan datang.
Dengan bersara sepenuhnya, Mahathir dapat memberi fokus yang lebih kepada aktiviti-aktiviti lebih berfaedah seperti kegiatan amal.
Selain itu, Mahathir juga boleh mengadakan seminar atau ruang bicara bagi memupuk generasi baharu yang lebih terdidik dan berdaya saing untuk menghadapi cabaran masa depan. — Majoriti
Azhan Zainuddin, pembaca Majoriti.
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram