PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau akan menunjukkan bukti di sebalik dakwaannya bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad menyalahgunakan jawatannya sebagai bekas Perdana Menteri untuk memperkayakan diri dan keluarganya.
"Saya tidak mahu bergaduh. Beliau (Dr Mahathir) minta bukti dan saya akan buktikan. Tiada masalah," katanya semasa sesi dialog bersama mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada Jumaat.
Dr Mahathir sebelum ini memberi tempoh masa sehingga 17 April kepada Anwar untuk respons kepada surat undang-undangnya bagi membuktikan bekas Perdana Menteri tersebut mengumpulkan kekayaan untuk diri dan keluarganya sepanjang memegang jawatan berkenaan.
Beliau turut merujuk kepada kenyataan Anwar dalam ucapannya semasa Kongres National Khas PKR pada 18 Mac lalu.
Sementara itu Anwar berkata, beliau tidak menentang kepimpinan bekas Perdana Menteri tersebut kerana pentadbirannya ada kebaikan dan sebaliknya.
"Tapi beliau (Dr Mahathir) sudah meninggalkan kerosakan yang banyak," katanya.
Anwar pada masa sama turut mengkritik bekas Perdana Menteri tersebut yang melabel orang Melayu sebagai pemalas dan pelupa.
"Ia tidak benar. Bangsa mana yang tidak malas dan pelupa? Semua bangsa ada.
"Orang Melayu telah melahirkan ramai figura besar, pemikir dan para intelektual. Jangan hina mereka," katanya.
Pada 18 Mac lalu, Anwar tanpa menamakan sesiapa merujuk kepada seorang pemimpin yang memimpin negara selama 22 tahun dan tambahan 22 bulan serta didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk memperkayakan keluarga dan dirinya.
Dr Mahathir, 97, berkhidmat sebagai Perdana Menteri keempat dari 1981 hingga 2003 dan selama 22 bulan lagi dari 2018 hingga 2020. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram