KECERIAAN terpancar pada wajah seorang ibu tunggal apabila beban perbelanjaan terutamanya barangan keperluan asas diringankan menjelang Aidilfitri.
Mana tidaknya, sambutan perayaan itu tentu sekali tidak akan meriah tanpa adanya baju baharu selain lauk pauk terhidang di pagi 1 Syawal.
Bagi Sri Marni Zainal Abidin, 44, yang sebelum ini bekerja di sebuah kafe hospital di Nilai, Negeri Sembilan, dia kini terpaksa berehat di rumah selepas disahkan menghidap fibroid bulan lalu.
Disebabkan itu, ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu berkata, kini dia terpaksa bergantung harap kepada anaknya yang bekerja di sebuah taska di Sepang, Selangor dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,700.
"Selepas saya dimaklumkan tentang penyakit yang saya hidap, doktor nasihatkan untuk berehat di rumah. Disebabkan itu, banyak perbelanjaan digunakan untuk rawatan sehingga tiada wang untuk kegunaan harian sekeluarga.
"Bagi terus menyara keluarga, saya ada rancangan untuk jalankan perniagaan sendiri dari rumah dengan menjual kuih secara dalam talian selepas ini," katanya selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Star Media Group (SMG) dengan kerjasama Putrajaya Holding Sdn Bhd di di Econsave KIP Mall Kota Warisan, Sepang, Selangor pada Isnin.
Sri Marni ketika ditemu bual selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Star Media Group (SMG) dengan kerjasama Putrajaya Holding Sdn Bhd di di Econsave KIP Mall Kota Warisan, Sepang, Selangor pada Isnin.
Menerusi inisiatif tersebut, Sri Marni menerima bantuan sebanyak RM200 bagi perbelanjaan barangan runcit dan duit raya berjumlah RM50 menjelang Aidilfitri.
Katanya, dia bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan tersebut yang secara tidak langsung dapat mengurangkan beban perbelanjaan mereka sekeluarga sebelum Syawal.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Aisyah Rani Francis, 41, turut meluahkan rasa gembira kerana dapat ditaja segala barangan keperluan asas seperti beras, tepung gandum, telur dan lain-lain sempena menyambut Syawal.
Dia yang juga mualaf berkata, sumbangan tersebut secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaannya memandangkan dia perlu menyara lima anaknya sendirian.
Katanya, masih ada beberapa persiapan raya yang belum dibuat kerana pendapatan bulanannya hanya sebanyak RM900 sebagai tukang cuci di sebuah surau di Sepang, Selangor.
"Saya bersyukur kerana dibantu untuk sumbangan pembelian barangan keperluan asas. Jadi saya boleh fokus untuk membuat persiapan raya yang masih belum siap seperti pakaian raya.
"Sejak saya memeluk agama Islam pada lima tahun lalu, ramai orang membantu saya terutamanya masyarakat setempat dan pihak surau yang mengambil berat terhadap saya," katanya yang tinggal di Apartment Megah Villa di lokasi sama dia bekerja.
Lydia Wang (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings Sdn Bhd, Datuk Hashimah Hashim bermesra dengan penerima sumbangan pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Star Media Group (SMG) dengan kerjasama Putrajaya Holding Sdn Bhd di di Econsave KIP Mall Kota Warisan, Sepang, Selangor pada Isnin.
Program yang direalisasikan SMG dengan kerjasama Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) itu telah dapat membantu 200 keluarga B40 dengan menyumbang kira-kira RM50,000 kepada golongan tersebut bagi membantu ringankan beban perbelanjaan mereka menjelang Aidilfitri.
Ketua Pegawai Perniagaan Star Media Group (SMG), Lydia Wang berkata, keluarga B40 yang dibantu menerusi program berkenaan menerima sebanyak RM200 bagi perbelanjaan barangan runcit dan duit raya berjumlah RM50 bagi setiap keluarga.
Menurutnya, inisiatif turut dibantu oleh badan bukan kerajaan iaitu Yayasan MyKasih yang mengenal pasti beberapa keluarga B40 di sekitar Dengkil dan Sepang yang wajar dibantu.
"Bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri ini, kami bersyukur dapat bekerjasama dengan PjH untuk membawa keceriaan Syawal kepada keluarga yang memerlukan. Keperluan asas seperti makanan adalah sesuatu yang mewah bagi sesetengah pihak tersebut.
"Kami harap bantuan yang diberi ini sedikit sebanyak dapat membantu untuk meringankan beban perbelanjaan mereka terutamanya menjelang perayaan ini," katanya yang turut hadir di program itu.
PjH peka kebajikan komuniti, sentiasa menyumbang sekitar kejiranan Putrajaya
Di pihak PjH pula, syarikat berkenaan sentiasa menyedari kebajikan dan kesejahteraan masyarakat di kawasan pembangunan yang dilaksanakan menerusi program Tangunggjawab Sosial Korporat (CSR) sejak sekian lama.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hashimah Hashim berkata, pihaknya sebelum ini memperuntukkan jumlah yang besar untuk program CSR khusus untuk membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.
Menurutnya, PjH yang juga sebahagian daripada Kumpulan Syarikat KLCC dan Petronas menyedari salah satu faktor kewujudan syarikat tersebut adalah untuk memperkayakan kehidupan bagi masa depan mampan.
"Jadi, kami sentiasa merangka kedua-dua program berbentuk jangka pendek dan panjang untuk memastikan program CSR yang dijalankan adalah mampan dan mencipta nilai kepada pihak berkepentingan," katanya selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Star Media Group (SMG) dengan kerjasama PjH di di Econsave KIP Mall Kota Warisan, Sepang, Selangor pada Isnin.
Mengulas lanjut tentang kerjasama pihaknya dengan SMG itu, Hashimah berkata, pihaknya merangka rancangan jangka masa panjang untuk memyumbang kembali kepada masyarakat dan meningkatkan kualiti sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi golongan yang kurang bernasib baik.
Katanya, kerjasama dengan pihak SMG kali ini adalah berdasarkan aspirasi untuk mewujudkan pakatan positif dengan komuniti kejiranan Putrajaya dengan meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan keluarga tersebut.
Hashimah ketika ditemui selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Star Media Group (SMG) dengan kerjasama Putrajaya Holding Sdn Bhd di di Econsave KIP Mall Kota Warisan, Sepang, Selangor pada Isnin.
Selain itu, beliau berharap kerjasama antara kedua-dua pihak tersebut sambil dibantu ole Yayasan MyKasih akan membawa kepada peluang kerjasama CSR lain demi memperkayakan kehidupan keluarga lain yang sama.
"Program pada kali ini adalah bertujuan untuk menyediakan keperluan asas dan duit raya kepada beberapa keluarga miskin tegar dan B40 dari Sepang dan sekitar Bangi, Selangor.
"Sebanyak 200 keluarga menerima bantuan sebanyak RM200 bagi perbelanjaan barangan runcit dan duit raya berjumlah RM50 setiap keluarga menjelang Aidilfitri," katanya.
Bercakap tentang soal hartanah, Hashimah sempat berbicara mengenai Residensi Sakura di Presint 11, Putrajaya yang kini dijual bermula pada harga RM350,000 seunit dengan diskaun 10 peratus untuk semua rakyat Malaysia, selain rebat 10 peratus.
"Di samping itu, bayaran guaman untuk penyediaan Perjanjian Jual Beli (SPA) serta Duti Setem ke atas kos pemindahan (MOT) akan ditanggung oleh PjH," katanya.
Hashimah (tengah) memeriksa barangan keperluan asas yang dibeli oleh penerima sumbangan semasa Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Star Media Group (SMG) dengan kerjasama Putrajaya Holding Sdn Bhd di di Econsave KIP Mall Kota Warisan, Sepang, Selangor pada Isnin.
Dalam perkembangan lain, Hashimah turut berpesan kepada orang ramai yang ingin pulang ke kampung pada Syawal ini supaya berhati-hati di jalan raya.
"Bagi mereka yang berada di jalan raya, ingatlah untuk mengelak penggunaan telefon bimbit semasa memandu. Berwaspada dan patuhi peraturan keselamatan pada setiap masa. Kekal selamat untuk anda dan orang tersayang.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram