Proton Wira sasaran utama pencuri 11 tahun berturut-turut, kalahkan 'King Of The Road'


  • Massa
  • Jumaat, 20 Jan 2023

Sebanyak 131 Proton Wira dilaporkan dicuri pada 2021.

PERCAYA atau tidak, kereta kegemaran buatan Malaysia, Proton Wira menjadi kenderaan yang paling digemari pencuri.

Kenyataan itu dibuktikan apabila Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC) menyatakan bahawa kenderaan itu mengekalkan statusnya sebagai "kenderaan paling banyak dicuri" buat kali ke-11 berturut-turut.

Penyelarasnya, Mas Tina Abdul Hamid berkata, senarai tersebut adalah berdasarkan tuntutan yang diterima oleh syarikat insurans.

Sebanyak 131 Proton Wira dilaporkan dicuri pada 2021, diikuti Proton Iswara dengan 75 kes.

Perodua Myvi yang mendapat gelaran 'King of the Road' pula berada di tempat keenam dalam senarai kenderaan kegemaraan pencuri.

Toyota Hilux adalah kereta buatan asing yang paling banyak dicuri dengan 65 kes pada 2021, meletakkannya di tempat keempat, tempat di belakang Perodua Kancil.

“Ada kereta Mercedes Benz curi dijual pada harga serendah RM10,000, atau Hilux RM12,000, dan Wira hanya RM3,000.

“Wira merupakan jenama yang popular ketika itu, dan masih terdapat sejumlah besar di jalan raya walaupun pengeluaran dihentikan pada 2009,” kata wanita itu.

Mas Tina juga menambah bahawa pencuri sering kali menjadi pembekal alat ganti Wira.

Tambahnya, pencuri selalunya menyasarkan model kereta yang lebih tua dan lebih popular.

Oleh itu, Mas Tina mempercayai bahawa Myvi akan menjadi kegemaran mereka tidak lama lagi.

“Myvi menjadi sasaran kerana rupanya dan ia antara kegemaran rakyat.

“Trend ini hampir serupa dengan Wira. Kami kini mempunyai sejumlah besar Myvi di jalan raya dan kereta itu mungkin menjadi sasaran apabila pengeluaran mereka berhenti,” katanya sambil menambah kebanyakan kenderaan tempatan yang dicuri dijual di dalam negara.

Menurutnya, kekurangan alat ganti kenderaan baru-baru ini akibat pandemik Covid-19 telah memburukkan lagi masalah itu.

Sementara itu, data yang diberikan kepada The Star menunjukkan bahawa satu Yamaha 135LC dicuri setiap hari menjadikannya motosikal kegemaran pencuri pada 2021.

Motor kedua dalam senarai itu ialah Yamaha Y15R dengan 186 kes dilaporkan, diikuti oleh Honda C100 dengan 151 kes.

“Biasanya, pencuri akan menyasarkan model terbaru, menanggalkannya, dan menjual alat gantinya.

“Mereka juga menjual Yamaha 125Z pada harga RM1,500, Yamaha 135LC pada harga RM500, dan Honda EX5 dan Honda Wave pada harga RM300 setiap satu.

“Pelanggan yang bersetuju dengan tawaran mereka akan memasukkan wang ke dalam akaun milik sindiket sebelum kenderaan atau komponen yang dicuri dihantar kepada mereka menggunakan perkhidmatan bungkusan berdaftar,” ujarnya.

Mas Tina menambah bahawa adalah sangat sukar bagi pihak berkuasa untuk mencari sindiket berkenaan berikutan mereka dari kumpulan yang berbeza.

“Mereka mempunyai orang yang berbeza untuk mencuri dan kumpulan yang berbeza untuk membawanya ke Thailand. Orang lain akan menjualnya,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram