SECARA purata sebanyak 53,000 kilogram (kg) sisa makanan dibuang setiap hari oleh peniaga makanan bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, menurut dapatan daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Data tersebut merupakan hasil pencerapan dibuat SWCorp terhadap 92 bazar ramadan yang beroperasi di kedua-dua negeri tersebut.
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, dapatan sama turut menunjukkan purata sisa bagi satu perniagaan adalah sebanyak 9.5kg sehari di Kuala Lumpur.
"Kajian juga turut dibuat dengan peniaga Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya dan mendapati hanya 16 peratus daripada peniaga di Bazar tersebut dapat menghabiskan jualan mereka.
"Bagi peniaga yang tidak dapat menghabiskan jualan, 81 peratus dari mereka menyumbangkan makanan tersebut dan hanya 3 peratus sisa makanan dibuang ke tong yang disediakan.
"Sumbangan makanan yang tidak habis dijual ini akan membantu mengelakkan pembaziran dan mengurangkan sisa makanan dari dihantar ke tapak pelupusan," katanya.
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming
Beliau berkata demikian ketika sidang media majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Jumaat.
Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar, Timbalan Menteri Pembanguna dan Kerajaan Tempatan, Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar.
Kor Ming berkata, jumlah pembuangan sisa makanan direkodkan di dalam negara khususnnya ketika bulan Ramadan adalah sesuatu yang membimbangkan.
Katanya, ketika ini, sisa makanan mencatatkan jumlah paling besar dalam komposisi sisa di Malaysia iaitu sebanyak 45 peratus. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram