KERAJAAN memberi jaminan akan terus menjaga keselamatan dan kebajikan masyarakat Orang Asli yang terkesan dengan ancaman harimau belang di penempatan mereka di Gua Musang, Kelantan, sejak Disember lepas.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelbagai inisiatif telah diambil termasuk bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pemimpin setempat.
"Pasukan keselamatan juga melakukan operasi bagi menjaga keselamatan di kawasan penempatan masyarakat Orang Asli yang terkesan dengan ancaman harimau khususnya di Pos Bihai yang dianggarkan seramai 305 Ketua Isi Rumah (KIR).
"Pihak Perhilitan telah memasang tujuh perangkap namun tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini," katanya.
Mahdzir berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar menerusi Jakoa dan pemimpin setempat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim turut mengagihkan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli dari semasa ke semasa bagi menampung keperluan harian mereka.
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh setakat ini, tiga ekor harimau yang dikatakan berkeliaran di dalam kawasan pentadbiran Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan, iaitu di Kampung Remau, Kampung Bujuk, Kampung Bayor, Kampung Ten’rej, Kampung Salak, Kampung Badak, Kampung Sau dan Kampung Pahong masih gagal ditangkap.
"Daripada segi keperluan untuk memindahkan penduduk pula, ia bergantung kepada pihak Perhilitan untuk memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi sebarang tindakan lanjut," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kemeriahan sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau pada 7 Januari lalu.
Pada Jumaat lalu, penduduk di Pos Ber pula berdepan kebimbangan sama apabila harimau belang dilihat berkeliaran di kawasan itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram