Hilang ketika memancing, Orang Asli dikhuatiri maut dibaham harimau di Gua Musang


  • 112
  • Rabu, 10 Mei 2023

Seorang lelaki Orang Asli Bateq yang dilaporkan hilang ketika menacing dikhuatiri dibaham harimau. — Bernama

SEORANG lelaki Orang Asli Bateq dilaporkan hilang dikhuatiri akibat diserang harimau ketika memancing di hulu Sungai Aring di Kampung Aring 5, Gua Musang, Kelantan pada Selasa.

Ketika kejadian, mangsa Halim Asin, 27, sedang memancing bersama anak saudaranya Alang Kuang yang berusia lapan tahun, kira-kira pukul 11.30 pagi.

Bapa Alang, Kuang Camang, 31, berkata, anaknya mendakwa ketika memancing mereka telah diserang harimau tersebut.

"Anak saya yang terkejut terus terjun ke dalam sungai dan berenang menyelamatkan diri sebelum menceritakan kejadian itu kepada kami yang berada kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

"Kami sempat meninjau di tempat kejadian tetapi tidak menemui adik ipar saya di kawasan itu,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Terdahulu, Kuang bersama tujuh orang lagi termasuk mangsa dalam perjalanan dari Kampung Cangkung, Jerantut, Pahang untuk pulang ke Kampung Aring 5 dengan berjalan kaki dan singgah berehat di sungai berkenaan.

"Sebelum Ramadan lalu kami ke Kampung Cangkung dan tinggal di sana selama sebulan. Kami mula berjalan kaki (bertolak) untuk pulang ke Kampung Aring 5 pada Sabtu lalu.

"Pada 11 pagi Selasa, saya, isteri, empat orang anak, Halim dan bapanya telah sampai di Sungai Aring dan membuat khemah di pinggir sungai untuk bermalam kerana ingin menangkap ikan,” katanya.

Bercerita lanjut, Kuang berkata, selepas kejadian itu meskipun berada di dalam ketakutan mereka bertolak ke Kampung Aring 5 pada pukul 1.30 petang dan terus melaporkan insiden terbabit kepada penghulu dan penduduk sejurus tiba pada pukul 5.30 petang di kampung tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan menerima laporan berkaitan kehilangan lelaki suku kaum Bateq itu pada pukul 10 malam Rabu.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat oleh anggota keselamatan telah digerakkan bermula Rabu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram