Melancong, gajet antara punca anak milenial tak mahu memiliki rumah, pakar ini beri 4 saranan  


  • Massa
  • Selasa, 20 Sep 2022

Kekurangan simpanan dan pendapatan yang kecil dipercayai menjadi antara sebab golongan muda tidak mampu membeli rumah sendiri.

KEUTAMAAN yang berlainan atau gaya hidup yang gemar melancong dan membeli gajet dikatakan menjadi antara faktor kenapa golongan muda masa kini masih tidak mempunyai kediaman sendiri.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda), Datuk NK Tong berkata, kekurangan simpanan mahupun gaji yang rendah menjadikan kumpulan ini tidak mampu untuk membeli rumah.

"Malaysia mempunyai antara kadar pemilikan rumah tertinggi di dunia dengan lebih 70 peratus rakyat mempunyai kediaman sendiri.

"Mereka yang tidak memiliki rumah lazimnya terdiri daripada kalangan belia. Salah satu sebab mengapa mereka belum membeli rumah kerana baru sahaja memulakan kerjaya.

"Ini menyebabkan mereka tidak berkemampuan untuk membeli rumah sendiri. Pada masa sama selesa berbelanja dengan menyalurkan wang dengan cara lain seperti melancong, gajet dan pilihan gaya hidup lain," jelasnya kepada Majoriti.

Hand giving key  real estate agent

Dianggarkan sekitar 70 peratus rakyat tempatan mempunyai kediaman sendiri.

Sementara itu, bagi kategori B10 atau B20 pula, mereka lebih memberi fokus kepada memenuhi keperluan seharian dan memilih untuk menyewa kediaman.

"Mereka mempunyai keperluan lain yang lebih penting dalam kehidupan seharian terutama pasca pandemik Covid-19. Kemungkinan besar mereka tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk membeli rumah," ujarnya.

Melihat kepada situasi itu, Rehda menggariskan beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan kerajaan bagi membantu golongan sebegini agar dapat memiliki rumah sendiri.

crop-hand-holding-house-near-coins

Kekurangan simpanan dan baru memulakan pekerjaan antara sebab golongan belia tidak mampu beli rumah.

1. Lebih insentif

Tidak dinafikan kerajaan sudah memperkenalkan beberapa usaha bagi meringankan beban rakyat untuk membeli rumah sendiri antaranya Skim Jaminan Kredit Perumahan, Skim Rumah Pertamaku dan i-Miliki (Pemilikan Perumahan Keluarga Malaysia).

Redha mencadangkan agar kerajaan mengalihkan tumpuan subsidi daripada minyak kepada perumahan awam atau mampu milik bagi membantu lebih ramai golongan belia, B10 dan B20 memiliki rumah.

2. Subsidi jangka panjang

Penawaran subsidi perumahan yang mempunyai lebih banyak faedah jangka panjang untuk memastikan rakyat dilindungi dan pembangunan negara dapat diteruskan.

3. Kenaikan gaji minimum

Kerajaan boleh memberi fokus kepada usaha untuk menaik taraf had gaji minimum kepada status negara berpendapatan tinggi supaya lebih ramai lagi rakyat Malaysia mampu membeli kediaman sendiri.

4. Kerjasama pemaju

Rehda berterusan memberi galakan kepada pemaju perumahan agar sentasa menjalankan kewajiban untuk menyediakan rumah yang berkualiti dengan harga berpatutan atau mampu milik untuk semua lapisan masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram