Tak sempat jual, peniaga 'berputih mata' 4,000 kasut tiruan cecah RM800,000 kena sita


  • 112
  • Isnin, 08 Mei 2023

Pegawai penguat kuasa KPDN sedang memeriksa barang dipercayai kasut tiruan berjenama terkenal dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Klang, Selangor pada Isnin. — KPDN Selangor

KEGIATAN menjual kasut tiruan berjenama terkenal kepada pelanggan terbongkar apabila sebuah rumah kedai di Klang, Selangor diserbu pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor pada pukul 1 petang pada Isnin.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, premis berkenaan menempatkan 4,000 unit kasut tiruan bernilai RM800,000 di sebuah stor yang disyaki berfungsi sebagai tempat transit sebelum dijual kepada pihak lain.

Menurutnya, serbuan yang dijalankan seramai lima pegawai penguat kuasa KPDN Selangor turut menahan seorang warga tempatan yang ditemui di premis tersebut untuk siasatan lanjut.

"Sitaan dibuat ke atas 4,000 kasut tiruan berjenama terkenal bernilai RM800,000 itu dibuat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

"Jika seseorang individu didapati bersalah, denda boleh dikenakan tidak lebih RM10,000 bagi setiap satu barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau tidak lebih RM15,000 bagi setiap satu barang kepada syarikat terbabit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata, kes terbabit kes kedua berlaku tahun ini melibatkan barangan tiruan di Klang, Selangor

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 22 kes melibatkan kes sama di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan jumlah rampasan sebanyak RM1 juta setakat ini.

"Kita akan jalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti pemilik sebenar perniagaan, jadi saya harap orang ramai dapat memberi kerjasama dengan KPDN untuk memberikan maklumat kepada kita untuk meneruskan tindakan.

"Kita juga mengingatkan kepada pengguna supaya tidak menyokong perniagaan menjual barang tiruan kerana ia melibatkan keselamatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram