12 kes subvarian Arcturus Covid-19 dikesan, KKM saran individu bergejala asingkan diri segera


  • Primer
  • Isnin, 24 Apr 2023

Orang ramai disarankan untuk memakai pelitup muka ketika berada di tempat sesak bagi mengurangkan jangkitan varian baharu Covid-19.

DALAM kemeriahan rakyat Malaysia menyambut Aidilfitri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Isnin melaporkan sebanyak 12 kes Covid-19 XBB.1.16 atau Arcturus dikesan di Malaysia.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah kes tersebut, sebanyak enam kes dikesan di Sarawak, empat di Selangor dan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak ia dikesan memasuki tanah air sejak Mac lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesemua kes berkenaan hanya mempunyai gejala ringan dan berada dalam keadaan yang stabil serta tidak membebankan kapasiti perkhidmatan kesihatan di klinik dan hospital.

Tambah beliau, subvarian di bawah famili varian Omicron tersebut terhasil daripada gabungan atau rekombinan varian BA.2.10.1 dan BA.2.75 dan sehingga 2 April lepas dan dikesan sekurang-kurangnya di 31 buah negara di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengelaskannya sebagai Variant of Interest (VOI) sejak 17 April 2023. Ini bermakna hasil penilaian risiko Kumpulan Pakar Teknikal Evolusi Virus SARS-CoV-WHO telah menilaikannya sebagai suatu subvarian yang memerlukan perhatian, tetapi tidak diletakkan dalam kelas varian di bawah pemantauan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

file7p6j20ucfox1590pfdod

Dr Zaliha Mustafa.

Dalam pada itu Dr Zaliha berkata, penilaian risiko peringkat global melaporkan risiko jangkitan dan keterukan kes yang disebabkan oleh subvarian XBB1.16 adalah lebih rendah dari subvarian XBB.1.5 dan varian atau subvarian lain yang dilaporkan sebelum ini.

Mengulas lanjut tentang situasi terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia, beliau berkata, kes terkini yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 16/2023 menurun sebanyak 6.4 peratus iaitu daripada 5,149 kes pada ME 15/2023 kepada 4,817 kes.

Katanya, varian Omicron kekal sebagai satu-satunya varian yang sedang menular dan sehingga kini sebanyak 70.97 peratus (18,319 kes) daripada jumlah kumulatif kes yang dijangkiti, dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan VOI jenis varian Omicron dan subvariannya.

Justeru, Dr Zaliha berkata, KKM mengingatkan orang ramai agar terus mengamalkan TRIIS (uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan rawatan) bagi yang bergejala dan bagi individu yang disahkan positif Covid-19, perlu melakukan pengasingan kendiri dengan segera untuk tempoh yang ditetapkan.

"KKM juga akan terus memantau situasi dan varian atau subvarian Covid-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesejahteraan rakyat untuk hidup bersama virus Covid-19 dengan selamat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram