KPM teliti pemakaian semula pelitup muka di sekolah — Fadhlina Sidek


  • Primer
  • Khamis, 27 Apr 2023

KKM mencadangkan supaya pemakaian pelitup muka diwajibkan semula di sekolah bagi mengekang lonjakan kes Covid-19.

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan perbincangan khas berkaitan cadangan pemakaian semula pelitup muka di sekolah yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta isu penularan Covid-19 pada Khamis.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perbincangan khas tersebut bagi mencari penyelesaian terbaik demi keselamatan dan kesihatan para pelajar yang akan mula bersekolah pada minggu hadapan.

“Pagi ini (Khamis) mempengerusikan perbincangan khas berkait isu penularan Covid dan cadangan pemakaian pelitup muka bagi mencari penyelesaian terbaik demi keselamatan dan kesihatan anak-anak kita yang akan mula bersekolah minggu depan,” ciapnya di Twitter pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan KKM akan mencadangkan supaya pemakaian pelitup muka diwajibkan semula di sekolah bagi mengekang lonjakan kes Covid-19 susulan penularan varian XBB.1.16, atau dikenali sebagai Arcturus.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau akan mengadakan pertemuan segera bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum sekolah dibuka semula pada 2 Mei.

Tambahnya, garis panduan berhubung prosedur operasi standard (SOP) membabitkan murid dan pelajar di sekolah akan dikeluarkan sebelum mereka memulakan persekolahan selepas cuti Aidilfitri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram