KEGIATAN licik seorang lelaki mencuri mesin pancing di sebuah kedai jual alat memancing terbongkar apabila ia dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) premis terbabit di Shah Alam, Selangor dipercayai berlaku pada Khamis lalu.
Video berdurasi seminit 18 saat itu memaparkan lelaki tersebut sempat tersenyum ke arah kamera ketika melakukan perbuatan itu di premis terbabit.
Menerusi video tersebut, lelaki terbabit dilihat pura-pura mencari barangan dalam kedai tersebut, sebelum mengambil sebuah mesin pancing dan diselitkan di bahagian depan seluarnya tanpa dilihat oleh pekerja dalam premis terbabit.
Lelaki itu kemudiannya keluar daripada premis tersebut dan menaiki sebuah motosikal di hadapan kedai lalu melarikan diri.
"Dalam masa seminggu, (sehingga 11 Mei 2023), kami minta untuk abang dancer pulangkan kembali reel tersebut, atau tindakan lanjut akan menyusul," demikian petikan dalam video tersebut.
Dalam pada itu, warganet di Twitter mempertikaikan perilaku lelaki tersebut yang mencuri barang tersebut, selain mendakwa individu tersebut kelihatan kurang siuman.
"Macam kacip je mamat ni," kata @tombwgholland.
"Aku rasa dia tak betul lah," kata @puterahm.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada pemilik premis tentang kejadian tersebut.
Bagaimanapun katanya, pihaknya mengarahkan anggota balai untuk ke kedai memancing tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes terbabit.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram