MP Kelantan didakwa 'curi' air bomba


  • Massa
  • Ahad, 07 Mei 2023

Siti Zailah didakwa menggunakan pam penyedut bagi mengambil air dari pili bomba untuk mengagihkan bekalan air kepada penduduk setempat berikutan beberapa kawasan di Parlimen itu menghadapi masalah bekalan air. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan seorang Ahli Parlimen pembangkang di Kelantan yang menggunakan air dari pili bomba bagi mengatasi masalah bekalan air penduduk setempat.

Menterinya Nga Kor Ming berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap Ahli Parlimen tersebut kerana ia merupakan perkara yang tidak bertanggungjawab untuk dilakukan mana-mana individu.

"Sumber air dari pili bomba digunakan bagi memadam kebakaran bukan digunakan sebagai bekalan air untuk kegunaan seharian.

"Jika semua orang pakai air pili bomba, jika berlaku kebakaran macam mana? Ini sebenarnya tidak patut berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Larian Bersama Bomba anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang didakwa menggunakan pam penyedut bagi mengambil air dari pili bomba untuk mengagihkan bekalan air kepada penduduk setempat berikutan beberapa kawasan di Parlimen itu menghadapi masalah bekalan air.

Tindakan Siti Zailah itu dikecam pengguna Twitter yang membidas tindakan ahli Parlimen itu yang dianggap tidak wajar dilakukan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram