TIDAK mahu membuatkan peminat tertanya-tanya lagi mengenai hubungannya, pelawak juga penyampai radio popular, Shuib mengikat tali pertunangan bersama wanita pilihan, Watie Hanifiah pada Sabtu.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad mengadakan majlis pertunangan tersebut di kediaman keluarga Watie di Shah Alam, Selangor.
Difahamkan, majlis tersebut hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Berita gembira itu itu turut dikongsi Shuib menerusi hantaran berbentuk video di Instagram Story pada Sabtu.
"Assalamualaikum, Shuib ini. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Hari ini 6 Mei 2023 (Sabtu), Alhamdulillah, saya baru sahaja melangsungkan pertunangan dengan Watie.
"Saya mohon doakanlah semoga perjalanan kami dipermudahkan. Doakan yang baik-baik untuk kami. Doakan tau.. Selamat Hari Raya," katanya.
Sementara itu, memetik laporan portal media tempatan, penyampai radio Suria FM itu turut memanjatkan rasa syukur atas majlis pertunangannya bersama Watie.
Menurut Shuib, dia juga tersentuh melihat kedua-dua belah keluarga bakal disatukan tidak lama lagi.
"Perasaan yang cukup berdebar-debar dari semalam, dari rumah lagi. Jadi lainlah, tapi ada rasa seronok dan terharu. Sebab melihat bekas mentua, mak dan sebelah sana keluarga disatukan, rasa terharu dan bersyukur.
"Dalam kehidupan kita tak sangka apa yang ALLAH aturkan. Apa yang boleh diharapkan adalah doa daripada semua orang. Sebab kita menjalani apa yang ALLAH tulis.
"Harap doa daripada semua orang boleh menguatkan untuk kita menuju ke arah yang lebih baik. Tak ada orang nak kehidupan tak best. Semua orang harapkan kebahagiaan. Harap doalah baik-baik untuk saya sekeluarga," kata Shuib.
Pasangan itu dijangka melangsungkan pernikahan pada 23 Jun depan.
Shuib berkahwin dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat cahaya mata.
Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram