
DUA lelaki pengedar barang kemas disamun dalam kejadian yang berlaku di belakang sebuah kedai emas, di Pekan Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abd Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden tersebut pada pukul 11.30 pagi Rabu.
Katanya, ketika kejadian, kedua-dua mangsa membawa barang kemas dengan anggaran berat lebih kurang tujuh kilogram (kg) yang bernilai RM1.8 juta.
Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kedua-dua suspek menggunakan topeng muka dan bersenjatakan parang panjang.
"Suspek juga disyaki menggunakan dua buah kereta iaitu jenis Toyota Camry berwarna putih dan Toyota Corolla Aktus berwarna perak dengan kedua-duanya dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya dalam satu kenyataaan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Syahrul berkata, siasatan teperinci sedang dijalankan dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan dan menangkap suspek terlibat.
Rompakan emas oleh 2 lelaki bertopeng menggunakan 2 buah kereta, berjaya melarikan 2 beg berisi 7 kg emas dianggarkan bernilai RM1.8 juta dekat Jalan Pasar Rabu, Kuala Pilah pagi tadi. pic.twitter.com/6zyASIwgXV
— Jabatan Netizen Malaysia (@jnmalaysia) May 3, 2023
"Pihak polis memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil bagi membantu siasatan sekiranya terdapat sebarang maklumat.
"Orang ramai boleh menghubungi talian hotline ibu pejabat polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-484 2999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Pada Rabu, tular di sosial video rakaman berdurasi 34 saat memaparkan insiden tersebut yang menyaksikan dua orang individu bertopeng yang menaikii sebuah kenderaan bertindak menyamun mangsa di lorong belakang sebuah kedai emas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram