VIDEO tular memaparkan seorang lelaki kononnya seorang pegawai polis yang berlagak samseng sambil menunjukkan kad kuasa rupanya bekerja sebagai polis bantuan di sebuah bank.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengesahkan identiti lelaki terbabit selepas berjaya mengesan video berkenaan di Facebook memaparkan pergaduhan antara dua pemandu kereta di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke).
Katanya, pihaknya turut menerima satu laporan polis daripada anggota Balai Polis Setiawangsa, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju berkenaan insiden terbabit pada Ahad.
"Menurut mangsa, kejadian berlaku membabitkan sebuah Honda City yang dipandu secara berbahaya dan cuba mengganggu perjalanannya.
"Suspek kemudiannya bertindak mengeluarkan seperti kad polis dan menunjukkannya kepada pemandu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Ashari berkata, suspek tampil ke Balai Polis Pandan Indah, IPD Ampang Jaya pada Isnin bagi membuat laporan berhubung video tular berkenaan.
Katanya, suspek mendakwa mangsa mengganggu laluannya tanpa memberi isyarat sebelum mengubah arah.
Oleh sebab itu, Ashari berkata, suspek bertindak menunjukkan kad kuasa polis bertujuan supaya mangsa berhenti.
"Kes diklasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Majistret (RKM) dan akan merujuk kepada agensi polis bantuan berkenaan bertugas untuk tindakan lanjut.
"Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
