Termakan pujukan cuba perisa vape baharu, tiga remaja dirogol lelaki misteri di Kota Kinabalu


  • 112
  • Isnin, 01 Mei 2023

Ketiga-tiga mangsa diumpan untuk menghisap rokok elektronik berperisa baharu dan selepas mereka menuruti pelawaan suspek, ketiga-tiganya tidak sedarkan diri. — Gambar hiasan.

KETERUJAAN mencuba perisa baharu rokok elektronik (vape) mengundang padah apabila tiga remaja perempuan kemudiannya menjadi mangsa rogol di sebuah rumah tumpangan di Kampung Air, Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, insiden terbabit melibatkan tiga mangsa berusia bawah umur dan empat suspek lelaki yang tidak dikenali bersama seorang wanita yang dikenali mangsa.

Menurutnya, keempat remaja lelaki yang berusia antara 13 hingga 17 tahun itu ditahan pada Jumaat selepas satu laporan polis dibuat oleh salah seorang mangsa berumur 17 tahun.

Mohd Zaidi memaklumkan, kejadian bermula apabila empat suspek dan seorang wanita menegur mangsa-mangsa di sebuah pusat beli belah dan memujuk mereka untuk melepak di rumah tumpangan mereka di Kampung Air, Kota Kinabalu, Sabah.

"Semasa di rumah terbabit, kesemua mangsa diumpan untuk menghisap rokok elektronik berperisa baharu dan selepas semua mangsa menuruti pelawaan suspek, ketiga-tiganya tidak sedarkan diri.

"Apabila kesemua mangsa tersedar pada tengah malam, mereka berada dalam keadaan tidak berpakaian manakala semua suspek menghilangkan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Zaidi berkata, ketiga-tiga mangsa kesemua mangsa mengesyaki diri mereka dirogol sebelum laporan polis dibuat susulan kejadian terbabit.

"Bertindak atas laporan yang dilakukan mangsa, polis berjaya mengesan serta menahan lima suspek yang disyaki terlibat dalam insiden terbabit di sekitar pusat bandar dan kawasan Telipok Ria, Tuaran, Sabah.

"Kesemua mereka ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan di bawah Seksyen 372(1)(a) Kanun Keseksaan dan 375(B) kanun yang sama," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram