Tanpa disedari, amalan harian punca masalah ketidaksuburan lelaki di Malaysia


  • Massa
  • Rabu, 12 Apr 2023

Data ujian analisis sperma makmal LPPKN mendapati sebanyak 60 peratus menunjukkan keputusan abnormal.

LELAKI di Malaysia terdedah kepada risiko ketidaksuburan akibat beberapa tabiat lazim yang tidak disedari menjejaskan kualiti sperma dihasilkan.

Pakar Perunding Reproduktif Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhammad Azrai Abu berkata, antara amalan terbabit ialah pemakaian seluar ketat, aktiviti berbasikal, sauna dan mandi di kolam air panas.

Menurutnya, kesemua aktiviti berkenaan sekiranya dilakukan secara berlebihan boleh menjadi punca kepada masalah ketidaksuburan di samping faktor utama lain seperti merokok dan vape.

"Untuk pemakaian seluar ketat termasuk ketika berbasikal, ia akan menyebabkan aliran darah di bahagian testis tidak lancar dan itu menjadi antara punca perkembangan sperma dekat testis itu tidak berlaku.

"Kemudiannya, aktiviti lain yang mendedahkan testis kepada suhu terlampau tinggi seperti berbasikal di bawah terik matahari, sauna dan mandi di kolam air panas juga memberikan masalah kepada kesuburan lelaki," katanya kepada Majoriti.

Public utilising their Hari Raya offday excercising at Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Dr Muhammad Azrai berkata, jumlah kes individu menghadapi masalah kesuburan akibat aktiviti berbasikal menunjukkan peningkatan sejak lima tahun lalu.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu memaklumkan data ujian analisis sperma makmal Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia (LPPKN) mendapati sebanyak 60 peratus menunjukkan keputusan abnormal.

Katanya, perkara tersebut secara langsung menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan dalam pasangan berkahwin di Malaysia.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Azrai berkata, risiko tabiat dinyatakan itu tidak bermakna kesemua aktiviti berkenaan langsung tidak boleh dilakukan sekiranya seseorang lelaki mahu memiliki tahap kesuburan yang baik.

People swimming at the Poring Hot Spring pool.

Aktiviti mandi di kolam air panas terlampau kerap turut menyebabkan risiko ketidaksuburan dalam kalangan lelaki.

"Contohnya kalau mereka pergi berbasikal hanya beberapa jam, bukan di bawah panas matahari dan tidak sebabkan terlalu banyak stres, itu tidak menjadi masalah.

"Ia hanya akan bermasalah sekiranya aktiviti berbasikal ini dilakukan di bawah terik panas matahari dan dalam tempoh waktu serta jarak yang ekstrem," ujarnya.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatiannya, jumlah kes individu menghadapi masalah kesuburan akibat aktiviti berbasikal menunjukkan peningkatan sejak lima tahun lalu.

"Ia (berbasikal) bukanlah satu-satunya punca. Sebabnya kadang-kadang isu kesuburan ini boleh disumbang oleh pelbagai faktor lain termasuk tekanan berlebihan di tempat kerja. Jadi bukan hanya satu faktor.

"Tapi sebab benda ini adalah perkara yang kita buat tanpa kita sedari, jadi bila dia datang buat pemeriksaan baru dia sedar kualiti sperma dia ada masalah," jelas beliau.

A man uses a vape device in this illustration picture. - Reuters

Dr Muhammad Azrai berkata, banyak kajian terbaharu dilakukan menunjukkan bahawa kandungan vape mempunyai kesan langsung terhadap pembentukan sperma pengguna lelaki.

Dalam pada itu Dr Muhammad Azrai berkata, penggunaan vape didapati membawa kesan buruk terhadap tahap kesuburan seseorang lelaki, sama seperti amalan merokok.

Katanya, di sebalik pemasaran alat tersebut yang sering dikaitkan sebagai pengganti rokok, banyak kajian terbaharu dilakukan menunjukkan bahawa kandungan vape mempunyai kesan langsung terhadap pembentukan sperma pengguna lelaki.

"Kita nampak bukti itu kukuh. Jadi sebab itu kita rasa vape itu juga tak digalakkan sekiranya seseorang lelaki itu mahu mengekalkan kesuburannya bagi mendapatkan anak.

"Jadi kita akan nasihatkan kepada mereka ini untuk berhenti ambil vape sebab kita nampak selepas mereka berhenti melakukan tabiat itu, kesannya dia pembentukan dan kualiti sperma dia berubah lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Azrai berkata, pasangan yang sudah berkahwin boleh melakukan pemeriksaan di klinik seawal tahun pertama perkahwinan untuk melakukan ujian kandungan sperma.

"Jika didapati kualiti sperma mereka tidak berada di tahap yang baik, kita boleh sediakan pemulihan untuk bantu mereka mendapat zuriat.

"Kita akan berikan nutrien yang spesifik untuk pertumbuhan sperma seperti zink dan beberapa nutrien lain supaya sperma lebih aktif," ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram