Mengaku salah 32 tuduhan rogol remaja sampai lari rumah, bapa tiri berdepan hukuman penjara 830 tahun


Tertuduh diiringi polis ketika di Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat. — Bernama

SEORANG lelaki berusia 36 tahun mengaku bersalah di dua Mahkamah Sesyen di Melaka pada Jumaat atas 32 pertuduhan rogol dan melakukan serangan seksual terhadap anak tiri perempuan yang kini berusia 16 tahun.

Pengakuan tertuduh direkodkan di dua mahkamah berasingan pada Jumaat, masing-masing diketuai oleh Hakim Mohd Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 15 Mei sebagai tarikh menjatuhkan hukuman dan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh yang berdepan hukuman penjara sehingga 830 tahun dan sebatan sebaik hukuman dijatuhkan.

Tertuduh yang merupakan jurulatih renang mengaku bersalah atas 12 pertuduhan merogol di bawah mengikut Seksyen 376(2) dan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Seksyen 376(2) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat manakala Seksyen 376(1) membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Tertuduh juga mengaku bersalah atas 12 pertuduhan serangan seksual di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama, dan dibaca bersama Seksyen 16 Akta terbabit kerana serangan seksual yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Dia turut mengaku bersalah atas lapan pertuduhan memasukkan objek ke dalam alat sulit mangsa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara Januari 2020 hingga 14 Mac 2023 di sebuah rumah di Taman Maju, Jasin.

Pada 9 April lalu, suami isteri itu ditahan di KLIA2 sebaik pulang dari Sabah berhubung laporan polis yang dibuat mangsa.

Ibu kandung remaja itu berusia 40 tahun masih dalam reman sehingga Sabtu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram