
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) nafi melaksanakan jualan nombor pendaftaran dan menggunakan logo sistem JPJeBID di aplikasi TikTok.
Dalam satu kenyataan, jabatan itu memaklumkan akaun yang melakukan jualan nombor pendaftaran dan menggunakan logo tersebut di platform sosial media berkenaan adalah palsu.
"JPJ mengambil berat isu tular mengenai penjualan nombor pendaftaran dan penggunaan logo JPJeBID melalui platform TikTok.
"Untuk makluman JPJ tidak mempunyai akaun TikTok JPJeBID serta mengeluarkan apa-apa risalah berhubung penjualan nombor pendaftaran seperti di akaun tersebut," katanya.
Sehubungan itu, JPJ menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan terus menghubungi JPJ berdekatan untuk maklumat yang lebih tepat.
Menurutnya, JPJ sentiasa komited dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan jalan raya demi kesejahteraan orang awam khususnya pengguna jalan raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram