Mesej palsu berniat jahat, polis sangkal dakwaan halang kaum Hindu sembahyang di Buntong


  • 112
  • Sabtu, 22 Apr 2023

Yahaya menyifatkan dakwaan tular yang pihak berkuasa itu menghalang upacara keagamaan masyarakat Hindu di bandar raya ini kerana bertembung dengan Aidilfitri adalah fitnah berniat jahat.

POLIS Ipoh menyangkal dakwaan mesej palsu yang menghalang kaum Hindu untuk melakukan upacara keagamaan di Buntong, Ipoh Perak.

Mesej bertajuk 'Ketua Polis Daerah Menghalang Kaum Hindu untuk Menunaikan Sembahyang Hajat di Buntong, Ipoh, Perak dalam Perayaan Tahunan Idugathu Kaliamman Buntong' itu tular di aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Selain itu mesej berkenaan turut meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selain Menteri Besar Perak, dan Ketua Polis Perak mengambil perhatian terhadap tindakan polis daerah Ipoh yang tidak membenarkan perarakan terbabit.

Susulan penyebaran mesej palsu itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya tidak menghalang perarakan terbabit, sebaliknya hanya memberi nasihat kepada pihak kuil supaya menangguhkannya.

"Kami hanya memberi nasihat dan meminta kerjasama supaya menangguhkan perarakan chariot dan kavadi pada 21 hingga 23 April kerana tarikh berkenaan bertembung dengan Hari Raya Aidilfitri.

"Dengan jangkaan kehadiran seramai 25,000 orang penganut di kuil berkenaan, sudah pasti perarakan yang dirancang itu akan meningkatkan aliran trafik.

"Namun, pihak polis tiada halangan terhadap sebarang aktiviti keagamaan yang diadakan di dalam kawasan kuil terbabit dan wakil penganjur aktiviti itu juga sudah diberikan penerangan secara jelas mengenai perkara ini dan mereka faham serta bersetuju dengan nasihat polis," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas Yahaya lagi, pihak penganjur sudah memberi penjelasan dan menafikan terbabit dengan penyebaran maklumat palsu itu.

Katanya, siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram