VIDEO tular yang memaparkan seorang lelaki yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk di lampu isyarat Sungai Jagung, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini rupa-rupanya hanya salah faham antara orang awam dan pemandu tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, video berdurasi 56 saat itu dimuat naik pemilik akaun Youtube @EmyWolf98 pada 1 April lalu melalui pautan http://tube.com/shoots/hi4SDM dan mendapat perhatian umum.
Katanya, melalui video itu kelihatan beberapa orang awam sedang mengetuk tingkap untuk cuba memberhentikan sebuah kereta yang didakwa dalam keadaan mabuk.
"Polis sudah mengesan pemilik kenderaan terbabit dan menjalankan siasatan terhadap pemandu iaitu lelaki berusia 33 tahun itu.
"Melalui siasatan yang dilakukan, pemandu kereta berkenaan didapati keletihan dan tertidur dalam kenderaan terbabit sementara menunggu lampu isyarat merah.
"Selepas lampu bertukar hijau, tiba-tiba kenderaannya dikerumuni beberapa individu yang mengetuk pintu dan cermin tingkap serta menyebut perkataan mabuk," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Zaidy lagi, susulan daripada ketukan itu, pemandu kereta terbabit terkejut dan panik serta hendak meneruskan perjalanan ke rumahnya.
"Pada masa sama, kenderaannya tetap diketuk dan diarahkan untuk berhenti sehinggalah dia memberhentikan kenderaannya di bahu jalan.
"Dengan bantuan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Zon Delta yang tiba di lokasi tidak lama kemudian berjaya menyuraikan kekecohan itu.
"Hasil pemeriksaan polis ketika itu mendapati, tiada sebarang kesan bau alkohol ketika hasil temu bual yang dijalankan terhadap lelaki yang juga pemandu kenderaan terbabit," katanya.
Zaidy turut menasihatkan orang awam supaya tidak sewenangnya memuat naik gambar, video sensitif melalui laman sosial yang boleh mengundang fitnah atau kemarahan kepada masyarakat.
"Perbuatan itu boleh mengundang kemarahan kepada masyarakat dan kekacauan dalam sebarang bentuk penularan berita palsu, kecenderungan menghasut atau ugutan yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial.
"Tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Akta Komunikasi, Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan kesalahan yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram