DESAKAN untuk mencutikan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar daripada jawatannya berhubung tindakan pegawai kanannya yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bersifat pramatang dan menimbulkan persoalan aneh.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tindakan untuk mencutikan seorang menteri adalah kuasa mutlak Perdana Menteri dan perlu dibuat berdasarkan fakta serta bukti yang kukuh.
Menurutnya, tindakan berkenaan boleh dibuat jika individu terbabit disahkan terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang seperti penyelewengan atau ketidakpatuhan terhadap peraturan atau undang-undang.
"Namun, penting untuk diingat bahawa tidak diperlu pertuduhan dibuat oleh SPRM untuk mengambil tindakan terhadap seseorang yang sedang disiasat.
"Berapa kali menteri itu perlu bercuti sekiranya lepas ini ada pegawai dia yang lain pula disiasat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Jais turut menegaskan keputusan untuk mencutikan seorang Menteri atau mana-mana individu lain perlu dibuat berdasarkan kepada fakta-fakta dan bukti yang sahih, serta mempertimbangkan prinsip keadilan dan kesaksamaan.
Oleh itu, katanya, pihak terbabit disarankan supaya tidak gopoh dalam menegakkan keadilan, selain menjadikan siasatan SPRM sebagai isu politik bagi menjatuhkan lawan.
"Rakyat perlu yakin dan percaya kepada ketelusan proses perundangan negara yang sedia ada dan biarkan ianya dilaksanakan tanpa gangguan," katanya.
Terdahulu, seorang lagi pegawai kanan kepada Sivakumar ditahan oleh SPRM pada 14 April lalu berkaitan isu pengambilan pekerja asing.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara tersebut memaklumkan, individu terbabit direman selama empat hari bermula 14 April hingga 17 April. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram