Menteri tepis dakwaan rumah digeledah SPRM 


  • Primer
  • Isnin, 17 Apr 2023

Sivakumar turut mengulangi bahawa beliau dan kementerian akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan kes itu.

MENTERI Sumber Manusia V Sivakumar menafikan laporan bahawa rumahnya telah digeledah oleh pasukan penyiasat rasuah.

Ketika ditanya mengenainya pada Isnin, beliau hanya menjawab, "Tidak."

Ia selepas sebuah media yang memetik sumber melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu rumah dan pejabatnya pada Ahad (16 April).

Sumber itu berkata, serbuan itu adalah berhubung siasatan terhadap wang jutaan ringgit yang didakwa digunakan sebagai sogokan melalui orang tengah untuk jaminan kontrak kerajaan bagi individu tertentu berkaitan pengambilan pekerja asing.

Serbuan itu dipercayai adalah sebahagian daripada usaha untuk mengumpulkan jejak wang dalam kes itu.

Menurut sumber, serbuan dilakukan sejurus selepas menteri itu memberi kenyataan kepada SPRM.

Mengenai kenyataannya kepada SPRM pada Ahad, Sivakumar mengulangi bahawa beliau dan kementerian akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan kes itu.

Ditanya sama ada beliau akan dipanggil semula, beliau itu berkata "tidak."

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan Sivakumar dipanggil untuk direkodkan kenyataannya.

“Ya, penyiasat saya meminta menteri datang supaya kenyataannya dapat direkodkan,” katanya kepada The Star.

Azam berkata beliau belum mempunyai butiran lanjut mengenai perkembangan siasatan.

Salah seorang pegawai Sivakumar berkata pemimpin itu menghabiskan kira-kira 30 minit di pejabat SPRM.

Minggu lalu, tiga orang termasuk dua pegawainya telah ditahan berhubung kes tersebut.

Seorang pegawai kanannya dan ahli perniagaan berusia antara 40 dan 50 tahun ditahan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Bangkok, Thailand.

Pegawai kanan itu dikatakan merupakan bekas pemimpin sayap Pemuda Sosialis DAP (Dapsy).

Siasatan susulan membawa SPRM kepada seorang lagi pembantu Sivakumar.

Suspek terakhir berusia dalam lingkungan 50-an dan dipercayai memegang jawatan setiausaha sulit dan ditahan selepas dipanggil untuk keterangannya direkodkan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram