KERAJAAN menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berhubung kes pengambilan pekerja asing yang melibatkan pegawai Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai agar tidak melakukan sebarang telahan berkaitan isu berkenaan.
"Tidak wajar beri apa-apa telahan dalam isu Menteri KSM (Kementerian Sumber Manusia) ini selain daripada beliau dipanggil untuk beri jawapan terhadap perkara yang dibangkitkan oleh SPRM.
"Kena bezakan juga siasatan atau pendakwaan... jadi siasatan itu kita serah pada SPRM... kemudian kalau tiada pendakwaan tak apa, kalau ada itu soal lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Karya Agung Sayr Al-Salikin (4 Jilid) dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada Isnin.
Pada Ahad, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan Sivakumar hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan susulan penahanan beberapa pegawainya yang dipercayai berkaitan isu pengambilan pekerja asing.
Terdahulu, baru-baru ini SPRM menahan dua pegawai kanan Sivakumar bagi membantu siasatan, susulan aduan yang diterima suruhanjaya itu berhubung kes membabitkan pengambilan pekerja asing.
Sementara itu, ditanya sama ada Sivakumar perlu bercuti sehingga siasatan selesai, Anwar berkata, ketika ini belum ada sebarang pertuduhan terhadap menteri berkenaan.
"Siasatan, belum ada pertuduhan.. kalau siasatan, (contohnya) saya selaku Perdana Menteri kena bagi penjelasan, takkan saya nak letak jawatan,” katanya.
Anwar seterusnya berkata Kerajaan Perpaduan pimpinannya sentiasa tegas dalam perihal berkaitan tata kelola dan membanteras rasuah.
"Dalam soal ini kita tidak peduli ia menyinggung sesiapa, sosok mana, parti mana.. itu pendirian kita,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram