Sivakumar rekod keterangan di SPRM


  • 112
  • Ahad, 16 Apr 2023

Keterangan daripada Sivakumar itu bagi membantu siasatan berhubung kes melibatkan pengambilan pekerja asing

MENTERI Sumber Manusia V Sivakumar telah dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan pengambilan pekerja asing.

Ia berikutan penahanan tiga individu termasuk dua pegawai kementeriannya pada minggu lalu.

Difahamkan, Sivakumar hadir di pejabat SPRM kira-kira pukul 10 pagi Ahad.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan mengenai perkembangan tersebut.

“Ya, penyiasat saya meminta menteri datang supaya kenyataannya dapat direkodkan,” katanya kepada The Star.

Azam berkata, beliau belum mempunyai butiran lanjut mengenai perkembangan siasatan.

"Saya biarkan penyiasat saya melakukan tugas mereka dahulu," tambahnya.

Salah seorang pegawai Sivakumar memaklumkan pemimpin itu menghabiskan kira-kira 30 minit di pejabat SPRM.

Pada Khamis, Azam mengesahkan penahanan setiausaha sulit Sivakumar bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan pengambilan pekerja asing.

Penahanan itu dilakukan SPRM kira-kira pukul 2.30 pagi dengan sebelum itu, seorang pegawai khas Sivakumar turut ditahan berhubung kes sama pada Rabu bersama seorang ahli perniagaan.

Pegawai kanan itu dipercayai merupakan bekas pemimpin sayap pemuda DAP di peringkat negeri.

Kedua-dua suspek berusia antara 40 dan 50 tahun itu ditahan di KLIA sekitar pukul 1 pagi sebaik tiba dari Bangkok, Thailand.

Mereka turut direman sehingga Isnin bagi membantu siasatan.

Bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, pembantu Sivakumar yang ditahan itu tidak bekerja di bawahnya ketika dia memegang jawatan itu pada 2018.

Menurut Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, pembantu terbabit hanya bekerja untuknya dari 2006 hingga 2008. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram