KERAJAAN tidak bercadang untuk menetapkan sebarang prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 khas buat rakyat menjelang sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini walaupun berlaku peningkatan kes baharu ketika ini.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, bagaimanapun orang ramai digalakkan untuk terus mematuhi SOP Covid-19 sedia ada.
Sehubungan itu katanya, rakyat tidak perlu berasa panik kerana walaupun berlaku peningkatan, namun situasinya masih dalam keadaan terkawal.
"Masyarakat tidak seharusnya panik atau bimbang dan mereka dinasihatkan lebih berjaga-jaga, sentiasa mematuhi SOP ketika melakukan aktiviti kunjung-mengunjung dan sebagainya.
"Sekiranya ada gejala, mereka seharusnya pakai pelitup muka bagi mengelak menjangkiti individu lain, melakukan ujian pengesanan Covid-19, segera bertemu doktor dan mendapatkan rawatan sesuai.
"Amalan lain seperti biasa membasuh tangan dan menjaga kebersihan," katanya pada sidang media sempena Majlis Lawatan dan Sumbangan Aidilfitri di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Johor pada Khamis.
Sementara itu, ditanya pengganti Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bersara wajib pada Jumaat, Dr Zaliha berkata, pihaknya akan membuat pengumuman pada tempoh terdekat.
"Untuk menjawab pengganti, saya minta bersabar, sudah ada beberapa nama berpotensi menggantikan beliau dan dalam tempoh terdekat saya akan membuat pengumuman," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram